GEORGE TOWN – Penglibatan Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow sebagai penaung Askar Wataniah dilihat mampu mencetus transformasi bukan sahaja dalam kalangan anggota sedia ada malah juga kepada individu yang berminat untuk menganggotai badan sukarelawan itu.
Setiausaha Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) Negeri Pulau Pinang, Leftenan Kolonel Hormat, Datuk Yaacob Md. Saad berkata demikian pada pertemuan bersama-sama Kon Yeow di Komtar lewat petang tadi.
Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; Kolonel Zulkifli Ali dari Rejimen Semboyan Diraja (2 RSD) Kem Sungai Ara dan Mejar Kehormat, Regimen 509 Askar Wataniah, Mejar (K) M. Kaleessvaran.
Dalam pertemuan tersebut, Yaacob menyerahkan beberapa dokumen menyatakan hasrat untuk mentauliahkan Kon Yeow sebagai Brigedier Jeneral Kehormat (penaung).
Malah, beliau berharap agar Ketua Menteri menerima hasrat pentauliahan tersebut sekaligus dapat menggalakkan penyertaan umum daripada pelbagai latar belakang agama, kaum dan pangkat.
Dalam pada itu, Timbalan Komander Rejimen 509 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Anuar Mohd. Tahir yang turut hadir pada pertemuan terbabit memaklumkan bahawa terdapat kira-kira 1,800 anggota sukarelawan pelbagai bangsa yang menyertai Askar Wataniah di Pulau Pinang.
Selain mendapat asas latihan ketenteraan yang diadakan dua kali setahun, anggota sukarelawan tersebut juga akan dikerahkan untuk membantu dalam misi bencana.
Justeru, beliau menyeru mana-mana individu berumur 18 tahun dan ke atas untuk menyertai Askar Wataniah dan menyuburkan kembali aktiviti kesukarelawanan.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : ALISSALA THIAN