Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
BUTTERWORTH – Jalan Bagan 29, di sini, boleh dijadikan jalan alternatif yang menghubungkan Butterworth dengan Seberang Jaya bagi mengelak bayaran 50 sen di Tol Lebuhraya Sungai Nyior.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Uitiliti (Tenaga, Air, Telekom) dan Pengangkutan (Udara, Laut dan Keretapi), Lim Hock Seng berkata, jarak perjalanan menggunakan jalan alternatif tersebut dan Lebuhraya Sungai Nyior adalah hampir sama.
Beliau berkata, jarak perjalanan sehala bermula dari simpang empat trafik Jalan Siram ke Hotel Sunway dekat Seberang Jaya yang menerusi Jalan Bagan 29, Jalan Bagan 1, Jalan Chain Ferry dan Jalan Todak adalah kira-kira 4 kilometer.
“Manakala, jarak perjalanan sehala bermula dari simpang empat trafik Jalan Siram ke Hotel Sunway dekat Seberang Jaya melalui Tol Lebuhraya Sungai Nyior adalah kira-kira 5.8 kilometer.
“Jarak perjalanan pergi dan balik semula melalui jalan alternatif ini (Jalan Bagan 29) adalah hampir sama jika pengguna kenderaan mahu mengelak tol (Lebuhraya Sungai Nyior),” katanya pada sidang media di Pasar Awam Bagan, di sini baru-baru ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal turut menafikan dakwaan pihak tertentu kononnya Jalan Bagan 29 berstatus jalan bandaran, bukan jalan utama.
Tambahnya, penduduk setempat sendiri sedar bahawa Jalan Bagan 29 itu adalah jalan utama.
“Kerajaan Negeri melebar sedia ada Jalan Bagan 29 daripada dua lorong kepada empat lorong dan dikaitkan dengan Jalan Siram.
“Jalan sebelumnya (sebelum diperlebarkan) berakhir berhampiran Pangsapuri Aman rumah pangsa,” katanya.
Beliau berkata, pelebaran Jalan Bagan 29 itu telah menelan belanja RM2.2 juta sungguhpun kos asal yang dihitung sebanyak 1.8 juta sahaja.
Ini kerana, katanya, Kerajaan Negeri terpaksa membayar lebih pampasan kepada empat tuan tanah demi melebarkan jalan berkenaan. Inilah yang boleh dilakukan oleh Kerajaan Negeri demi memperbaiki trafik jalan raya,” ujarnya.
Bercakap pada sidang media yang sama, ADUN Bagan Dalam, A. Tanasekharan berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak mempunyai kuasa untuk memansuhkan tol di Sungai Nyior itu memandangkan perjanjian konsesi tol adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.
“Sebagai sebuah Kerajaan Negeri, kita telah menunjukkan usaha menguntungkan rakyat dengan melebarkan jalan alternatif ini (Jalan Bagan 29), selebihnya di tangan (kerajaan) pusat kerana (usaha memansuhkan) tol di bawah bidang kuasa pusat,” ujar beliau.