Jalan Bukit Lama (Balik Pulau), pihak jurutera dan kontraktor diarah jalankan siasatan teliti – Ketua Menteri

Admin

BATU UBAN – Pihak jurutera dan kontraktor yang bertanggungjawab melakukan pembaikan Jalan Bukit Lama (Balik Pulau) telah diarahkan membuat siasatan teliti dengan segera selepas laluan (jalan) tersebut yang baru sahaja dibuka kepada umum pada 6 Mei lalu dilaporkan mengalami mendapan dan keretakan semalam.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow ketika diminta mengulas insiden itu menyatakan bahawa sejurus dimaklumkan, beliau telah meminta Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari untuk mengarahkan pihak jurutera serta kontraktor melakukan siasatan lanjut.

“Jika jalan yang baru sahaja dibaiki ini mendap dan retak semula, kemungkinan ada dua faktor, pertama adakah integrasi dinding penahan baharu itu benar-benar kukuh atau keretakan telah berlaku di dinding ini ataupun tidak.

“Kita (Kerajaan Negeri) serahkan kepada pihak berkenaan untuk merumusnya, dan jika benar seperti apa yang dijangka ia adalah masalah besar… bermakna dinding penahan ini memang tidak dapat menahan jalan.

“Kedua, mungkin disebabkan pemadatan bahan binaan iaitu setelah dinding dibina, ia perlu dipadatkan kembali dan adakah pemadatan ini dilaksanakan dengan cara yang betul dan mampu untuk menahan jalan serta lalu lintas.

“Apapun, biarlah jurutera dan kontraktor bertanggungjawab menjalankan siasatan di tapak terlebih dahulu,” ujarnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi pada sidang media selepas Majlis Penyempurnaan Kerja-kerja Konservasi Meriam Kota Cornwallis di Galeri Arkeologi Universiti Sains Malaysia (USM) dekat sini pagi ini.

Hadir sama, Exco Pembangunan Pelancongan, Warisan, Kebudayaan dan Kesenian, Yeoh Soon Hin.

Mengulas lanjut mengenai pelantikan kontraktor berkenaan, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong memberitahu bahawa kontraktor konsesi berkenaan bukan dilantik oleh Kerajaan Negeri.

“Kontraktor konsesi ini bukanlah dilantik oleh kita, sebaliknya kontraktor (konsesi) Kementerian Kerja Raya (KKR) semasa Kerajaan Persekutuan lama.

“Kontraktor ini diberikan konsesi selama lima tahun untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan Jabatan Kerja Raya (JKR) di Pulau Pinang dan wilayah utara,” jelasnya sambil memaklumkan kerja-kerja pembaikan dan pemulihan akan dilaksanakan segera.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : ALVIE CHENG