TELOK BAHANG – Akhirnya, penantian selama 22 tahun penduduk Kampung Bangsal Rawai di sini termakbul setelah jalan di jeti kuala diturap dan turut dipasang kemudahan lampu jalan.
Lanjutan itu, kemudahan bernilai kira-kira RM35,000 sumbangan Pejabat Tanah dan Daerah Daerah Barat Daya berkenaan juga bakal memberi kemudahan kepada 200 nelayan tempatan bagi mendaratkan hasil tangkapan masing-masing.
Malah, jalan berkeluasan 15 kaki lebar dari sedia ada dan sepanjang 120 meter juga penting berperanan sebagai penghalang ombak yang memungkinkan kerosakan pada bot serta masalah hakisan.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Abdul Halim Hussain yang mengadakan lawatan khas ke lokasi berkata , dengan kemudahan kerusi yang diletakkan di sepanjang laluan, lokasi tersebut juga boleh digunakan oleh kaum keluarga dan para nelayan untuk bersantai.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK), Mohd. Amin Noordin merakamkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada Kerajaan Negeri dan semua terlibat kerana penantian para penduduk selama 22 tahun akhirnya kini menjadi realiti.