Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
PULAU BETONG – Kira-kira 200 penduduk Kampung Genting dan kawasan sekitar menyertai Program Jom Sihat Kampungku “Merentas Bendang” anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Kampung Genting di sini baru-baru ini.
Program yang dianjurkan bersama Pejabat Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Pulau Betong itu turut mendapat kerjasama Ahli-ahli Majlis Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Briged Wanita (Pulau Betong).
PPK Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail berkata, aktiviti utama program iaitu berjalan kaki merentas kawasan bendang itu diadakan bertujuan memberi mesej kepada penduduk kampung mengenai kepentingan menjaga kesihatan, kecergasan diri menerusi gaya hidup aktif.
“Tidak dapat dinafikan, perubahan gaya hidup moden dan perkembangan teknologi menjadi antara punca penyakit berkaitan jantung dan penyakit kronik lain seperti hipertensi dan diabetes.
“Jadi, berjalan kaki ini merupakan senaman asas yang paling mudah dan murah dalam menjalani gaya hidup sihat,” katanya sejurus selepas acara pelepasan peserta Program Jom Sihat Kampungku “Merentas Bendang” di sini baru-baru ini.
Tambahnya, aktiviti sebegitu berupaya merapatkan silaturahim tanpa mengenal faktor usia dan bangsa.
“Alhamdulillah, sambutan amat menggalakkan dan cukup meriah, saya berhasrat menjadikan program sebegini sebagai program bulanan di Pulau Betong ini, inshaAllah,” kata Mohd. Tuah.