Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
GEORGE TOWN – Sebagai langkah mengatasi masalah kesesakan di Jalan Muntri di sini, Majlis Perbandaran Pulau Pinang ( MPPP ) melalui Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Lalulintas mengubah aliran trafik laluan tersebut kepada sehala bermula 19 April lalu di sini.
Bagaimanapun, inisiatif tersebut adalah di dalam tempoh percubaan selama tiga bulan bagi melihat keberkesanannya.
Timbalan Pengarah Kejuruteraan MPPP, Ir. A. Rajendran berkata, inisiatif tersebut bukan membabitkan keseluruhan Jalan Muntri, sebaliknya bermula dari persimpangan Lebuh Leith ke persimpangan Lebuh Cinta dan terus ke Lorong Stewart di sini.
“Di Lorong Stewart juga, hanya sebahagian (anggaran 50 meter) sahaja yang akan menjadi sehala iaitu sehingga persimpangan Lorong Muda bagi membolehkan umum yang datang membeli peralatan sembahyang berpatah balik melalui jalan sama,” ujarnya pada sesi taklimat pertukaran arah laluan Jalan Muntri di sini baru-baru ini.
Hadir sama Ahli Majlis MPPP, Muhammad Sabri Md. Osman.
Tambah Rajendran, jumlah panjang keseluruhan laluan terlibat adalah 570 meter.
“Ini merupakan sebahagian usaha pihak MPPP bagi melancarkan aliran trafik lalulintas.
“Lorong-lorong kecil juga turut akan tersenarai sekiranya praktikal,’’ jelas beliau.