GEORGE TOWN – Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari memaklumkan bahawa jalan yangbmenghubungkan Bandar Tasek Mutiara dan Hijauan Hills di Simpang Ampat hanya boleh diteruskan oleh Kerajaan Negeri sehingga didengar oleh mahkamah pada 3 Julai 2025.
Katanya, Kerajaan Negeri menzahirkan rasa kesal terhadap pemaju terlibat yang bertindak memfailkan kes tersebut di mahkamah tanpa memikirkan kepentingan rakyat di kawasan terlibat.
“Hijauan Hill dan Bandar Tasek Mutiara cuma dipisahkan 190 meter sahaja, sebelum ini pun memang penduduk mencadangkan untuk sambungkan jalan di sini sebab ada yang tinggal di Tasek Mutiara, anak sekolah di kawasan bersebelahan dan sebaliknya.
“Kita perlu menunggu sehingga 3 Julai 2025 untuk pendengaran semula kes, pada 10 September 2024, mahkamah mengarahkan stay at interim, jadi projek tersebut pun tidak dapat dimulakan.
“Kerajaan Negeri masih komited untuk selesaikan jalan pintasan tersebut demi kebaikan penduduk setempat, sekarang penduduk terpaksa pusing sehingga empat kilometer untuk ke kawasan bersebelahan,” ujar Zairil dalam satu sidang media di Komtar pagi tadi.
Akibat tindakan tersebut, kesesakan di Jalan Valdor bertambah buruk terutamanya pada waktu puncak.
Kronologi kes bermula pada 18 September 2023 apabila pemaju telah memfailkan semakan kehakiman kerana Kerajaan Negeri membuat permohonan penyerahan pemilikan tanah tersebut untuk bina jalan.
Dua bulan selepas itu, pemaju sekali lagi failkan semakan kehakiman kerana pemaju ada membuat pemindahan syarat pecah sempadan yang ditolak Kerajaan Negeri sebab ia berkait jalan tersebut, menjadikan dua kes di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.
Pada 21 September 2023, Kerajaan Negeri telah membuat pewartaan untuk pengambilan tanah bagi membayar pampasan.
29 April 2024, kedua-dua semakan didengar oleh mahkamah, hakim menolak, sekali gus memberi kemenangan kepada Kerajaan Negeri.
25 Julai 2024, satu lagi semakan kehakiman dibuat pemaju mengenai permohonan pengambilan tanah oleh Kerajaan Negeri.
10 September 2024, pemaju memfailkan rayuan di mahkamah rayuan. Kedua-dua mahkamah membuat pertimbangan untuk stay ad interim dengan erti kata lain Kerajaan Negeri tidak boleh buat pengambilan tanah selagi kes tersebut masih belum didengari.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD