Jalan Tun Hamdan Sheikh Tahir dirasmi

Admin

Oleh: ZULIANA AZIZ 

KEPALA BATAS – Sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan dan bakti yang telah diberikan oleh bekas Tuan Yang Terutama (TYT) Pulau Pinang, Kerajaan Negeri telah berbesar hati memilih dan menamakan Jalan Bertam ke Jalan Kubang Menerong sepanjang 7.3 kilometer bersempena dengan nama beliau iaitu Jalan Tun Hamdan Sheikh Tahir.

Tun Hamdan bukan sahaja dikenali umum sebagai Gabenor Pulau Pinang tetapi juga sebagai tokoh pendidik dan pegawai pendidikan yang terkemuka serta sebagai Naib Canselor kedua Universiti Sains Malaysia (USM). Malah, banyak sumbangan dan perubahan telah dilakukan serta ketokohan beliau yang terserlah dalam bidang pentadbiran membawa kepada pelantikan sebagai Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di- Pertua Negeri Pulau Pinang pada 1 Mei 1989.

“Pemilihan jalan ini adalah kerana sepanjang laluan tersebut terdapat beberapa institusi pendidikan terdiri daripada Malaysia Productivity Corporation, Allianze University College of Medical Sciences, Institut Latihan Perindustrian (ILP), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Sekolah Menengah Sains dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang mana bertepatan dengan sumbangan dan minat Tun Hamdan terhadap bidang pendidikan,” ujar Ketua Menteri, Y.A.B.Tuan Lim Guan Eng semasa memberi ucaptama beliau pada Majlis Perasmian Jalan Tun Hamdan Sheikh Tahir di sini, baru-baru ini.

Majlis perasmian jalan berkenaan telah disempurnakan oleh TYT Abdul Rahman Abbas diiringi isteri, Toh Puan Hajah Majimor Shariff.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri berharap agar usaha tersebut sedikit sebanyak akan membangkitkan rasa kecintaan terhadap tokoh terbilang anak negeri Pulau Pinang dalam kalangan rakyat terutama golongan muda yang lahir selepas zaman Tun Hamdan.

Hadir sama bagi memeriahkan majlis pada pagi tersebut ialah isteri Ketua Menteri, Betty Chew Gek Cheng, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mokhtar Mohd. Jait, Yang DiPertua (YDP) Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Maimunah Mohd. Shariff, Ahli-Ahli Majlis MPSP, Ketua-ketua Jabatan, Pengerusi badan bukan kerajaan (NGO) serta para tetamu jemputan khas.