GEORGE TOWN – Bagi memperkasakan ekonomi melalui seni, budaya dan warisan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Perbadanan Pembangunan dan Pemuliharaan George Town (GTCDC) telah menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman (MOU) dengan Kedutaan Perancis dan Dewan Bandaraya Arles.
MOU tersebut yang ditandatangani pada 2 Jun 2018 bagi tempoh tiga tahun antara lainnya merupakan jalinan dua negara untuk memperkuat dan membangunkan kerjasama dalam bidang berkaitan termasuklah program pertukaran Artist In Residence (AiR).
Exco Pembangunan Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Yeoh Soon Hin berkata, jalinan kerjasama yang termeterai tersebut ternyata memberi impak positif dan memberangsangkan.
“Yang terbaharu adalah malam pembukaan George Town Festival 2019 yang bertemakan When Night Falls di mana ia menggunakan pemetaan projeksi paparan lampu berlatar belakang Dewan Bandaraya di Padang Kota Lama.
“Idea ini diilhamkan ketika perayaan sambutan Krismas di Arles,” ujarnya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong.
Hadir sama Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri (CMI), S. Bharati dan Pengarah Muzium Pulau Pinang, Haryany Mohamad.
Pada sidang media tersebut, Soon Hin turut mengumumkan Vignes Balasingam iaitu Pengasas dan Pengarah Obscura Festival of Photography sebagai individu seterusnya yang akan menjalani program AiR di Perancis.
“Pada bulan Mei hingga Julai tahun lalu, melalui program AiR kita (Kerajaan Negeri) telah menghantar dua individu ke Arles sebagai program pertukaran residen iaitu Haryany dan Bharati.
“Ia adalah sebahagian daripada pembangunan keupayaan dan perkongsian pengetahuan di bawah MOU tersebut oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Perancis.
“Tahun ini Vignes dijangka pergi ke Arles pada pertengahan September nanti bagi mengkaji kerja-kerja berkaitan budaya serantau dan isu alam sekitar, manakala Perancis akan menghantar Monsieur Nicolas Havette ke sini (George Town) sebagai pertukaran tersebut.
“Nicolas akan tinggal di sini selama tiga bulan dan mendapatkan kerjasama daripada penduduk tempatan berkaitan projeknya iaitu FORTUNES yang dipamerkan di Taipei, Tainan, Lisbon, Arles, Paris dan Pietrasanta sejak 2017,” ujarnya.