GEORGE TOWN – Inisiatif mewajibkan pelajar memakai lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam sekolah mendapat sokongan padu daripada guru dan ibu bapa pelajar
Berdasarkan tinjauan Buletin Mutiara di beberapa sekolah di sekitar George Town mendapati rata-rata guru dan ibu bapa menyambut baik langkah tersebut.
Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Xavier, Teh Chin Joo antara yang menyokong inisiatif menyemat simbol kebangsaan itu pada pakaian seragam sekolah.

“Saya amat setuju dengan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan ini kerana ia memainkan peranan penting dalam memupuk semangat cintakan negara dalam kalangan pelajar.
“Inisiatif ini juga dapat membantu pelajar menjadi lebih patriotik sekali gus mengukuhkan lagi semangat cinta mereka kepada tanah air.
“Malah, penghayatan terhadap simbol Jalur Gemilang dapat memberi impak mendalam kepada pembentukan identiti kebangsaan dalam kalangan generasi muda pada hari ini,” tambahnya.
Sementara itu, bapa kepada salah seorang pelajar, Md. Farouk Shahul Hameed, 60, turut memberikan sokongan terhadap langkah tersebut.

Saya melihat inisiatif ini sebagai satu cara untuk memupuk rasa cinta kepada negara sejak dari kecil.
“Langkah ini sangat baik untuk memastikan anak-anak kita menghargai jasa dan pengorbanan yang telah dilakukan untuk negara,” katanya yang merupakan seorang pesara.
Pada masa sama, beliau mencadangkan supaya pihak sekolah turut menjalankan aktiviti-aktiviti berkaitan Jalur Gemilang termasuk sesi ceramah dan pertandingan.
“Inisiatif ini bukan sahaja dapat memperkukuh semangat kebangsaan dalam kalangan pelajar, malah turut membentuk generasi yang lebih bertanggungjawab dan berbangga dengan identiti negara,” katanya.
Oleh: M. DANESWARAN
Gambar: LAW SUUN TING