Jambatan baharu dan pengukuhan tebing jamin keselamatan penduduk – ADUN

SERI DELIMA – Pembinaan jambatan baharu dan pengukuhan tebing sungai berhampiran Jalan Gangsa di sini yang telah siap sepenuhnya pada 22 September lalu adalah demi menjamin keselamatan penduduk setempat.

 

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid, selain isu keselamatan, projek tersebut juga bakal mengurangkan risiko impak banjir di sungai berhampiran.

 

“Secara keseluruhannya, ia adalah projek pemulihan dan pemuliharaan sungai untuk mengurangkan risiko banjir Sungai Jelutong dan lain-lainnya.

 

“Seperti kita tahu jambatan sebelum ini kurang selesa dan separuh daripada jambatan telah roboh, jadi projek oleh JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) ini amat bermanfaat terhadap keselamatan penduduk dan juga mengurangkan risiko banjir,” ujarnya dalam satu lawatan ke lokasi projek tersebut dekat Green Lane Heights baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh; Jurutera JPS Daerah Timur Laut (DTL), Nortilawati Osman dan Ahli-ahli Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat.

 

Projek bernilai RM252,300 itu merupakan fasa pertama dan skop kerja terlibat adalah pembinaan jambatan 24m (meter) panjang dan 1.8m lebar, pembinaan rasuk utama, pengukuhan tebing sungai sepanjang 200m dan pembinaan anak tangga.

 

Menurut Syeerlena, kerja-kerja di tapak mengambil masa 12 minggu untuk disiapkan bermula dari 17 Jun 2020.

 

“Bagi fasa kedua, saya bercadang untuk mendirikan gazebo, pembinaan trek jogging dan tempat riadah bersesuaian melalui permohonan kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP),” maklum beliau.

 

 

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI