TELUK BAHANG – Kerajaan Negeri membiayai kira-kira RM2 juta bagi projek pembinaan jambatan ‘arch bridge’ yang dilihat memberi kemudahan kepada penduduk-penduduk Kampung Rawai, Teluk Bahang.
Menurut Exco ‘Caretaker’ Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari, menyedari bahawa Teluk Bahang merupakan lokasi tumpuan para pelancong, maka projek pembaikan jambatan ini akan memberi faedah besar kepada para penduduk di kawasan sekitar dan pelancong.
“Ini mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan masalah infrastruktur masyarakat di Teluk Bahang.
“Yang paling arif di kawasan ini semestinya mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah yang memperjuangkan isu semasa menjadi ADUN (2013 hingga 2018) bersama beberapa projek lagi.
“Walaupun ketika itu beliau daripada blok pembangkang, tetapi Kerajaan Negeri bersetuju dan meluluskan projek ini demi menyelesaikan masalah penduduk yang terpaksa melalui jambatan uzur, sempit dan tidak boleh dilalui oleh bot nelayan pada bahagian bawah,” ujar Zairil pada Majlis Penyerahan Jambatan Baru Menggantikan Jambatan Lama Di Jalan Kampung Rawai, Teluk Bahang di sini pagi tadi.
Turut hadir, Ahli Parlimen Balik Pulau, Dato’ Muhammad Baktiar Wan Chik; Pegawai Daerah bagi Daerah Barat Daya, Mohd. Hafiz Aswad Nadzri; Pengarah JKR Pulau Pinang, Ir. Ahmad Nadzri Abdul Majid dan Shah Headan.
Mengulas lanjut, ujar Zairil, jambatan sepanjang 28meter dan 9meter lebar itu turut dilengkapi laluan pejalan kaki, manakala skop projek merangkumi general item, site clearance & demolition works, structures, road works, prime construction serta provisional sum.
Difahamakan tarikh mula kerja adalah pada 3 Januari 2023 dan siap sepenuhnya pada 1 Ogos 2023.
“Selain itu Kerajaan Negeri juga telah menyiapkan jambatan di Kampung Nelayan dan pembinaan box culvert masih berjalan, diharapkan ketiga-tiga projek ini juga bertindak sebagai tebatan banjir kilat di kampung-kampung Teluk Bahang.
“Sungguhpun begitu, saya amat berharap bahawa rakyat Pulau Pinang mampu mempraktikkan pembuangan sampah yang lebih berdisiplin bagi membantu mengekalkan aliran sungai yang baik dan lancar di seluruh Pulau Pinang terutamanya di kawasan banjir.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : M. VEKENASVARAN