Jambatan Kedua pemangkin pembangunan masa depan Batu Kawan – Ketua Menteri

Admin
whatsapp image 2025 01 16 at 10.53.09

GEORGE TOWN – Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah bukan sahaja meningkatkan ketersambungan antara bahagian pulau dengan Seberang Perai, malah juga dilihat bakal menjadi pemangkin pembangunan negeri pada masa depan terutamanya di Batu Kawan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa tanpa ketersambungan penting tersebut, Batu Kawan tidak akan menjadi seperti yang dilihat pada hari ini.

Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah atau lebih dikenali sebagai Jambatan Kedua telah menghubungkan bahagian pulau dengan bahagian Seberang Perai Selatan dan juga bahagian utara negeri Perak.

“Jika dilihat kembali, matlamat semasa jambatan ini dibina adalah untuk meningkatkan aksesibiliti yang membawa pada pertumbuhan ekonomi, kini setelah 10 tahun kita dapat melihat pembangunan pesat di Batu Kawan

“(Dan) dalam tempoh 10 tahun lagi, Jambatan Kedua bakal menjadi pemangkin pembangunan dan juga pertumbuhan sosioekonomi untuk Pulau Pinang, khasnya di Batu Kawan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat daripada delegasi pengurusan tertinggi Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB) di Komtar pagi ini.

whatsapp image 2025 01 16 at 10.53.08 (1)
PEMBENTANGAN oleh pihak Jambatan Kedua Sdn. Bhd. kepada Ketua Menteri.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan berharap bahawa pihak JKSB dapat menerokai potensi segmen aktiviti ekonomi lain dalam terus memacu masa depan pembangunan negeri.

Terdahulu, delegasi JKSB yang diketuai Pengerusinya, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim hadir bertemu Kon Yeow bagi memperkenalkan pengurusan tertinggi dan ahli lembaga JKSB yang baharu.

Mengiringi Abdul Malik ialah Ketua Pegawai Eksekutif JKSB, Dato’ Faisal Shahbudin; Ketua Divisyen Operasi, Hussin Mohammad; Ketua Divisyen Korporat, Abdul Razak Abd. Rahman dan Ketua Komunikasi Korporat, Hani Sophia Hilmi.

Pada pertemuan itu, pihak JKSB membentangkan beberapa perkara antaranya pemilihan Jambatan Kedua dalam penganjuran Penang Bridge International Marathon (PBIM) baru-baru ini sempena ulang tahun ke-10; kolaborasi dengan Tourism Malaysia (Wilayah Utara) untuk mempromosikan Jambatan Kedua dan hal ehwal berkaitan pembangunan tanah.

Malah, pihak JKSB juga menyuarakan hasrat untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan tentang pembangunan infrastruktur dengan pihak yang berminat dalam mempelbagaikan fungsi dan potensi Jambatan Kedua dan JKSB.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN