Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
BATU MAUNG – Hasil dua ujian menggunakan kenderaan berat, lori, Jambatan Kedua Pulau Pinang (JKPP) yang menghubungkan Batu Maung dan Batu Kawan, Seberang Perai Tengah (SPT) disahkan sebagai lulus ujian serta selamat.
Perkara tersebut dinyatakan Pengarah Pembinaan Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB), Hamizol Ngah majlis sesi sidang media berserta lawatan ke tapak pembinaan JKPP di sini baru-baru ini.
Kata Hamizol, pada ujian tersebut, pihaknya menyasarkan struktur akan turun sebanyak 10 milimeter, namun pihaknya mengesahkan struktur hanya turun pada kadar tiga milimeter sahaja dan ianya lulus ujian dengan cemerlang,” ujarnya di sini barubaru ini.
Hadir sama, Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Datuk Abdul Malik Abul Kassim.
Hasil tinjauan Buletin Mutiara mendapati hanya pintu gerbang, pondok tol, surau, pejabat konsesi dan tandas di bahagian Batu Kawan sahaja dalam proses disiapkan pihak berkenaan.
Menurut Hamizol, ujian tersebut sengaja dihebahkan memandangkan hal keselamatan JKPP diragui selepas kejadian runtuhan susur keluar di Batu Maung yang mengakibatkan kemalangan jiwa pada pertengahan tahun ini.
“Ini adalah ujian biasa yang sebenarnya tidak perlu dihebahkan kepada umum, namun atas dasar keselamatan yang menjadi isu dalam pembinaan jambatan ini, saya beritahu juga,” jelas beliau.
Ketika diminta mengulas lanjut mengenai tarikh tepat pembukaan JKPP, Hamizol menyatakan ia adalah kuasa mutlak Kementerian Kerja Raya dan JKSB tidak berani memberikan sebarang tarikh.
“Projek sudah 99 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Disember merangkumi strukturstruktur di Batu Kawan, manakala penyambungan dan turapan tar sudah siap sepenuhnya.
“Satu lagi audit akan dilakukan selepas ini bagi memastikan keselamatan struktur ini terus terjamin untuk digunakan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Hock Seng mengucapkan terima kasih kepada JKSB kerana sudi membenarkan lawatan tersebut dijalankan dan berharap projek berkenaan dapat disiapkan dengan lancar serta selamat.