Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dibuka untuk laluan

Admin
JAMBATAN Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang dibuka secara rasmi untuk umum.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

BATU MAUNG – Perasmian pembukaan ikon terbaru negara, Jambatan Kedua Pulau Pinang yang dimasyhurkan sempena nama Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah baru-baru ini disaksikan lebih 10,000 rakyat Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas partisipasi tidak langsung hingga projek mega tersebut siap.

“Saya pun bersetuju bahawa adakalanya kita wajar ketepikan (sentimen) parti politik, kita perlu melakukan sesuatu demi rakyat Malaysia.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Pulau Pinang (Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng) dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang memberikan kerjasama dalam pelaksanaan projek ini,” ujarnya pada Majlis Perasmian Jambatan Kedua Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof turut berucap pada majlis bersejarah yang bermula sekitar jam 8.30 malam itu.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Tun Abdullah Ahmad Badawi (bekas Perdana Menteri) dan isteri, Tun Jeanne Abdullah,  Huang Huikang (Duta China ke Malaysia), Datuk Mukhriz Tun Mahathir (Menteri Besar Kedah), Datuk Mohd. Rashid Hasnon (Timbalan  Ketua Menteri I), Sim Tze Tzin (Ahli Parlimen Bayan Baru) dan Datuk Abdul Malik Abul Kassim (Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Maung merangkap Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pendagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) turut hadir pada majlis itu.

Hadir sama, Ahli Jemaah Mesyuarat Menteri, Exco-Exco Kerajaan Negeri, para wakil rakyat dan duta-duta.

Selain persembahan Boria Pulau Pinang, peluncuran bunga api ke udara antara upacara kemuncak menarik pada majlis perasmian tersebut.  Mohd. Najib, Guan Eng serta dif kehormat lain turut dibawa meninjau di atas jambatan itu, dengan menaiki bas khas disediakan kontraktor utama projek, United Engineers Malaysia Berhad (UEM).

Di sepanjang jambatan itu,  khususnya di bahagian rentasan utama bercahaya dek lampu neon sepanjang malam perasmian pembukaan, mula dibuka kepada orang awam bermula jam 12.01 pagi bertarikh 2 Mac lalu.

Jambatan terpanjang di Asia Tenggara itu adalah sepanjang 24 kilometer, dengan 17 kilometer merentasi laut dan tujuh kilometer lagi di daratan.

Projek menelan kos RM4.5 bilion tersebut dimajukan bersama syarikat kontrator China, China Harbour Engineering Co. Ltd. (CHEC) dan syarikat tempatan, Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB).

Pemajuan bersama projek tersebut kebetulan selesai semasa hubungan diplomatik Malaysia-China genap 40 tahun.

JKSB diberi konsesi mengutip tol selama 45 tahun, serentak dengan kutipan tol di Jambatan Pertama Pulau Pinang selama 30 tahun lagi sungguhpun perjanjian konsesi di jambatan itu patut tamat pada tahun 2018.

Selain dibina dengan reka bentuk bersifat lestari alam sekitar, jambatan tersebut mempunyai kelebihan kerana menggunakan sistem galas getah redaman tinggi (HDRB) yang mampu menahan kesan gegaran gempa bumi sehingga 8.2 pada skala Richter pada jarak 300 kilometer daripada punca gempa bumi.

Sebanyak 28 kiosk bayar tol dibina, dikatakan paling besar di negara ini.

Mohd. Najib berkata, hasil perbincangan dengan syarikat konsesi, laluan di jambatan berkenaan adalah percuma dalam tempoh sebulan.

Seperti yang disebut Guan Eng dalam siri-siri majlis rasmi Kerajaan Negeri sebelum ini, Mohd. Najib pun percaya bahawa ikon terbaru Pulau Pinang-Malaysia itu bakal merancak lagi pertumbuhan ekonomi negeri, khususnya di Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) negeri ini.