Jambatan Taman Dahlia siap dinaik taraf dengan kos RM262,666

BAGAN JERMAL – Projek penaiktarafan dan pelebaran jambatan Taman Dahlia, di sini yang dimulakan pada Ogos 2019 telahpun siap sepenuhnya pada 8 September lalu.

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata bahawa projek yang menelan kos keseluruhan berjumlah RM262,666 itu merupakan sebahagian daripada komponen bagi Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Mak Mandin.

“Bagaimanapun, dalam satu lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal bersama-sama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pihak kontraktor mendapati bahawa jambatan yang dibina oleh JPS itu adalah terlalu sempit.

Hanya kenderaan tidak melebihi 5 tan sahaja dibenarkan melalui jambatan ini.

“Justeru, sebagai Ahli Parlimen Bagan…(saya) telah menyumbangkan peruntukan berjumlah RM168,000 untuk melaksanakan projek penaiktarafan ini manakala pihak JPS pula menanggung kos RM48,000,” katanya semasa berucap pada program perasmian jambatan berkaitan di sini, pagi ini.

Hadir sama, Exco Kebajikan dan Alam Sekitar yang juga ADUN Sungai Puyu, Phee Boon Poh; Exco Belia dan Sukan merangkap ADUN Bagan Jermal, Soon Lip Chee; Ketua Seksyen (Pengangkutan) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Lim Hock Seng serta barisan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Mengulas lanjut, Guan Eng memaklumkan bahawa bagi mengelakkan kerosakan di laluan tersebut, Pusat Khidmat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bagan Jermal pula telah memperuntukkan RM28,500 bagi pemasangan lampu LED serta palang penghadang dengan had ketinggian 2.1 meter.

“Bagaimanapun, palang penghadang tersebut telah dilanggar oleh kenderaan pada Julai lalu, jadi, Pusat Khidmat KADUN Bagan Jermal memperuntukkan sebanyak RM18,166 lagi untuk pemasangan palang baharu,” ujarnya lagi.

Tambahnya lagi, pihak JPS juga telah menetapkan had maksimum bagi kenderaan yang dibenarkan untuk melalui jambatan tersebut iaitu lima tan sahaja.

“Bagi mengelakkan jambatan ini rosak lagi, saya berharap pengguna jambatan dapat mematuhi had berat maksimum.

“Saya juga menyeru penduduk setempat agar membuat laporan kepada Pusat Khidmat Parlimen Bagan dan Pusat Khidmat KADUN Bagan Jermal sekiranya mendapati pengguna yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan ini,” jelasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : CHAN KOK KUAN