Jambatan Tanjung Berembang siap, babit RM28 juta peruntukan Kerajaan Negeri – Ketua Menteri

Admin
KETUA Menteri (tengah) bersama barisan pemimpin Kerajaan Negeri lain menyaksikan Mohammad Azhar Hamdan (depan, kanan) menyerahkan sijil siap projek Jambatan Tanjung Berembang kepada Ahmad Nadzri Abdul Majid (depan, kiri) dalam majlis berkaitan di sini pada 25 Februari 2023.

SUNGAI ACHEH – Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) berjaya menyiapkan projek pembinaan Jambatan Tanjung Berembang di Laluan P169 pada Mei tahun lepas, dengan peruntukan Kerajaan Negeri berjumlah RM28 juta.

KETUA Menteri

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa projek infrastruktur awam itu akan menyingkatkan masa perjalanan dari 45 minit kepada 10 minit di samping meningkatkan aksesibiliti pengguna serta rangkaian perjalanan ke hab industri pembuatan dekat Taman Perindustrian Batu Kawan serta Penang Science Park.

“Projek ini menandakan satu lagi peristiwa penting dalam pertumbuhan dan kemajuan negeri ini daripada segi pembangunan infrastruktur yang seimbang antara bahagian pulau dan Seberang Perai.

“Sehubungan itu, diharapkan agar pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat mengambil pendekatan yang holistik bagi memastikan pembangunan di daerah Seberang Perai Selatan ini dapat berkembang dengan lebih maju untuk dinikmati oleh penduduk setempat,” ujarnya dalam Majlis Perasmian dan Penyerahan Jambatan Tanjung Berembang, Nibong Tebal, Laluan P169 di sini pada 25 Februari 2023.

Difahamkan, projek infrastruktur itu mula dijalankan sejak 18 Januari 2016 yang melibatkan struktur pembinaan ‘piled embankment slab, pembinaan tiga persimpangan utama, kerja tembok penahan, kerja perparitan, pemasangan tanda jalan, perabut jalan serta lampu jalan.

Projek jambatan sepanjang 2,130 meter (meter) dengan perbelanjaan keseluruhan sejumlah RM28 juta itu adalah termasuk kos pengambilan balik tanah berkaitan di sini.

Pada majlis sama, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan turut menyaksikan gimik penyerahan projek jambatan tersebut oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Mohammad Azhar Hamdan kepada Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang, Ir. Ahmad Nadzri Abdul Majid.

Bercakap dalam sidang media selepas itu, Kon Yeow memberitahu bahawa penyerahan projek tersebut membolehkan JKR Pulau Pinang mendapatkan peruntukan berwajib di bawah Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) untuk kerja-kerja penyelenggaraan jambatan tersebut dari semasa ke semasa.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR