Jamin keselamatan sumber air, semua negeri disyor gazet zon penampan 30m dua sisi sungai strategik

Admin

PANTAI JEREJAK – Semua negeri disyor untuk mengazetkan zon penampan 30m (meter) atau bersamaan 100 kaki di kedua-dua sisi sungai strategik yang menjadi sumber utama bekalan air pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa berkata bahawa usaha itu adalah bagi mengelakkan kawasan tersebut daripada diceroboh dan kejadian pencemaran air sungai seperti di Selangor berulang.

Menurut beliau, di peringkat negeri, PBAPP telah mempraktikkannya sejak tahun 2008 yang mana 30m zon penampan ditetapkan di sepanjang 14 kilometer (km) terusan Sungai Dua, iaitu air yang diekstrak PBAPP akan disalurkan ke Loji Rawatan Air Sungai Dua.

“Di Pulau Pinang, apa yang kita lakukan adalah pastikan kedua-dua sisi sungai ‘strategik’ mempunyai zon penampan 30m, tidak ada sebarang pembangunan, termasuk rumah ataupun kilang dibenar untuk didirikan dalam jarak tersebut.

“Malah, dalam memastikan kawasan berkenaan sentiasa dalam pengawasan, PBAPP juga menempatkan polis bantuan untuk membuat rondaan 24/7 (24 jam tujuh hari seminggu),” ujarnya sebagai respons kepada pertanyaan pemberita berhubung langkah keselamatan yang diterapkan PBAPP dalam memastikan kejadian kes pencemaran sungai seperti di Selangor tidak berlaku di negeri ini.

Hadir sama, Ketua Menteri yang juga merupakan Pengerusi PBA Holdings Bhd., Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow; Prof. Dr. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II) dan Zairil Khir Johari (Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir).

Merujuk kepada kes pencemaran air Sungai Gong di Rawang yang melibatkan kilang haram, Jaseni dalam responsnya memberitahu bahawa semua peruntukan undang-undang sedia ada di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) adalah mencukupi untuk dikenakan tindakan sejak awal.

“Kebanyakan isu yang dibangkitkan adalah undang-undang sedia ada yang tidak cukup ketat, sebenarnya ia bukan relevan kerana undang-undang yang sedia termaktub lebih daripada cukup untuk mencegah perkara ini daripada berlaku.

“Contohnya, di peringkat PBT mereka mempunyai undang-undang dan kuasa untuk mencegah kilang haram dibina di dalam kawasan zon penampan… difahamkan kilang berkenaan telah menerima satu notis daripada PBT bertanggungjawab pada tahun 2014.

“Seharusnya apabila wujud kilang haram, ia perlu dirobohkan serta-merta bukan hanya sekadar isu kompaun… dan jika ia diluluskan (didirikan) sebelumnya, maka perlu diubah ke kawasan yang lebih sesuai.

“Pihak bertanggungjawab seperti JAS juga seharusnya melakukan pemantauan, dua jabatan ini sudah mencukupi untuk menguatkuasakan undang-undang sedia ada dengan lebih ketat,” responsnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI