Jaminan bekalan makanan: Kon Yeow hasrat bincang status tanah PERDA di Ara Kuda

Admin

PERMATANG BERANGAN – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang berhasrat untuk berbincang dengan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) berhubung sebidang tanah milik agensi Persekutuan tersebut, yang ketika ini diusahakan oleh beberapa pertubuhan koperasi sebagai tapak pertanian sementara negeri.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya sedar mengenai peri penting memperkukuhkan lagi sektor jaminan makanan negeri, terutama selepas negara dilanda pandemik COVID-19.

“Khususnya dalam tempoh penularan COVID-19, kesedaran tentang betapa penting keselamatan bekalan makan (food security) adalah amat penting.

“Kalau tidak ada jaminan tanah (untuk tujuan pertanian), kita tidak ada jaminan makanan.

“(Justeru,) kita (Kerajaan Negeri) harap kita akan bincang dengan PERDA untuk lihat apakah rancangan pembangunan mereka di atas tanah ini,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi ketika melawat kawasan pertanian dekat Ara Kuda di sini pada 27 Mei 2020.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng yang juga Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Pegawai Penyelaras Khas Ketua Menteri, Lay Hock Peng dan Pengarah Pertanian Negeri, Mohd. Muhaimin Ibrahim turut sertai lawatan tersebut.

Sebelum itu, wakil koperasi setempat meminta Kon Yeow mencadangkan kepada PERDA supaya memanjangkan tempoh pajakan tanah pertanian di sini melebihi enam bulan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING