Jamuan perpaduan cipta sejarah, pupuk penyatuan rakyat

Admin

KEMERIAHAN… Sempena perayaan Deepavali yang bakal menjelang pada 12 November ini, Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer bersama-sama Parti Kongres India Malaysia (MIC) menganjurkan Jamuan Perpaduan Deepavali di Dewan Turnkey Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Jalan Patani.

Menurut Rayer, jamuan tersebut mencipta sejarah tersendiri apabila pihak yang ‘bermusuhan’ dalam politik selama ini berdamai dan mampu bersatu padu demi kebaikan rakyat.

 

 

“Ini sejarah baharu tercipta, kalau sebelum ini kita dapat lihat jamuan perpaduan diadakan pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri, kali ini kita teruskan lagi untuk perayaan Deepavali pula dan begitulah seterusnya untuk perayaan-perayaan lagi.

 

 

“Semangat perpaduan ini yang kita mahu pupuk dalam kalangan rakyat Malaysia, bukan sahaja perpaduan pada peringkat kerajaan, malah pada peringkat akar umbi melibatkan rakyat sendiri, maka kejayaan akan lebih senang dikecapi oleh Pulau Pinang dan Malaysia secara keseluruhannya,” ujar Rayer ketika berucap pada majlis berkaitan semalam.

 

 

Hadir sama, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim; ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong; ADUN Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng dan Pengerusi MIC Pulau Pinang, Datuk J. Dhinagaran.

 

 

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI