GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menerima kunjungan barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dekat sini pada awal pagi ini (27 November 2023).
Ketua Pembangkang, Mohamad Fauzi Yusoff yang juga ADUN Sungai Dua merayu kepada Kerajaan Negeri Perpaduan Pulau Pinang supaya mempertimbangkan peruntukan tambahan kepada 11 Kawasan Dewan Udangan Negeri (KADUN) yang diwakili mereka.
“Komitmen kami (ADUN Pembangkang) adalah sebagai agen semak dan imbang (yang mana) peranan pembangkang sebenarnya adalah sebahagian daripada proses perjalanan Kerajaan Negeri dengan tujuan sama iaitu untuk memajukan rakyat serta negeri Pulau Pinang.
“Justeru, saya mewakili kesemua ADUN Pembangkang ingin meminta Y.A.B. Ketua Menteri tambah sikit lagi peruntukan kepada ADUN Pembangkang yang mana rata-rata adalah mewakili rakyat Pulau Pinang dari kawasan luar bandar,” jelasnya.
Dalam reaksi balas, Kon Yeow memberitahu bahawa pernah suatu masa semasa beliau menjadi ADUN Pembangkang Pulau Pinang langsung tidak mendapat peruntukan daripada Kerajaan Negeri iaitu semasa era Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon menjadi Ketua Menteri.
Namun, menurut beliau, pentadbirannya pasca Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) cuba meneruskan amalan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri pada penggal pentadbiran sebelum ini, dengan memberi peruntukan tahunan dalam jumlah tertentu walaupun tidak sama dengan jumlah diterima oleh barisan ADUN Kerajaan.
“Saya rasa amalan yang telah dilakukan sebelum ini, kita kekalkan, jangan kita patah balik pada zaman yang tidak ada langsung peruntukan kepada ADUN Pembangkang.
“Memandangkan (amalan memberikan sejumlah peruntukan kepada ADUN Pembangkang) sudah dimulakan, maka saya putuskan untuk meneruskannya sahaja,” ujarnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.
Bagaimanapun, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan menyatakan bahawa pentadbirannya tiada masalah untuk mempertimbangkan permohonan wakil rakyat pembangkang berhubung penambahan peruntukan mereka jika Kerajaan Negeri ada lebihan kewangan untuk berbuat demikian.
“Syor penambahan peruntukan kepada ADUN Pembangkang, kita (Kerajaan Negeri Perpaduan Pulua Pinang) akan lihat sejauhmana boleh ditambahkan peruntukan yang dimohon itu,” respons beliau.
Dalam sesi temu bincang bersama Kon Yoew, beberapa ADUN Pembangkang turut mengetengahkan isu tidak mendapat kerjasama yang baik daripada anggota Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) tertentu di kawasan mereka berhubung untuk menangani kes pokok atau tiang elektrik tumbang dan sebagainya.
ADUN Penanti, Zulkifli Bakar pula mensyorkan Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang membekalkan peranti seperti telefon pintar dan komputer riba kepada barisan ADUN Pembangkang meningkatkan mutu perkhidmatan mereka, selari dengan status negeri yang mengejar pembangunan digitalisasi semasa.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT