Jangan lepas tangan jika pemajuan babit bangunan warisan – Exco

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Jangan lepas tangan sekiranya mahu memajukan tanah yang mempunyai bangunan warisan di negeri ini, tegas Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow.

Katanya, beliau agak tidak berpuas hati dengan kerjakerja pemindahan bahagian bangunan warisan dari tanah lot 22, 23 dan 24 dekat Jalan Macalister ke belakang satu sebuah bangunan lain dekat Jalan Sultan Ahmad Shah di sini.

“Pihak pemaju yang berhasrat memajukan kawasan bangunan warisan jangan bersikap lepas tangan dan meninggalkan bangunan tersebut dalam keadaan reput dan usang,” tegasnya di Soonstead Mansion selepas melawat sendiri stor simpanan bahagian bangunan warisan tersebut di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, pihak yang terbabit secara langsung atau tidak langsung berhubung kes seumpama itu sekaligus mampu meninggalkan kesan negatif terhadap Kerajaan Negeri.

Bercakap pada sidang media sama, Pengerusi Pertubuhan Arkitek Malaysia, Ar. Lim Hua Kwang berkata, proses ‘lerai dan pasang semula’ kesemua bongkah bangunan warisan tersebut sepatutnya dijalankan secara penuh teliti.

“Pengasingan dan peleraian dilakukan secara teliti dengan melabelkan setiap bahagian yang dibuka bagi menjamin keasliannya bila pemasangan dilakukan semula.

“Pelan asal juga diteliti demi memastikan pengasingan seperti ini tidak bercelaru, cuma kerangka kayu di bahagian bumbung tidak dapat diselamatkan berikutan keadaannya yang sudah daif akibat dimakan oleh anai-anai,” ujar Hua Kwang baru-baru ini.

Isu kontroversi ini mula menjadi perhatian banyak pihak apabila satu laporan Bahagian Perhubungan Awam MPPP yang dipetik menyebut, bahagian kerangka bumbung bangunan warisan berkenaan mungkin terpaksa dibina semula kelak demi menjamin keutuhan struktur bersejarah itu.

Justeru, MPPP dalam satu kenyataannya memaklumkan bahawa pemaju dan jurutera yang terlibat dalam kerja-kerja pemindahan bahagian bangunan warisan dari Jalan Macalister telahpun dipanggil untuk memberikan penjelasan lanjut berhubung hal tersebut.