Jangan lupa jasa guru – KM

Admin

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mengingatkan semua pelajar supaya berterima kasih kepada guru-guru masing-masing dalam  meniti kejayaan dalam kehidupan.

Katanya, guru merupakan sumber inspirasi yang penting kepada pelajar-pelajar di sekolah dalam mencapai kejayaan.

“Malah, guru juga boleh menjadi dorongan kepada murid-muridya untuk terus belajar, justeru, jangan pernah lupa pada jasa guru,” ucapnya pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di sini baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, seramai 63 pelajar yang memperoleh purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 4.0 menerima sumbangan wang tunai bernilai RM600, sijil dan trofi sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri kepada mereka.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid  Hasnon, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy serta barisan  kepimpinan Kerajaan Negeri.

Bagi Nur Liyana Othman, 20, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Balik Pulau yang dianugerahkan sebagai Pelajar Melayu Terbaik berasa
gembira dengan pengiktirafan diterima sambil menyatakan bahawa beliau ingin menyambung pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan.

“Saya bercadang menyambung pelajaran di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam pengambilan September ini kerana kakak saya juga seorang guru dan dari situ datangnya minat saya untuk menjejaki langkah beliau,” katanya kepada Buletin Mutiara sejurus selepas majlis berkenaan di sini baru-baru ini.

Seorang lagi penerima, Shahirah Said, 20, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Muda turut memiliki cita-cita sama untuk menjadi seorang pendidik kerana beranggapan bahawa tugas sebagai guru merupakan satu pekerjaan mulia.

“Alasan saya hendak menjadi guru adalah kerana ingin melahirkan ramai lagi pelajarpelajar cemerlang dan pandai demi masa depan negara,” ujar anak sulung kepada seorang nelayan di Kuala Muda, Kedah.

Bagi Ang Xin Yun, 20, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Simpang Empat, Seberang Perai Selatan (SPS) yang merupakan pelajar istimewa berhasrat untuk menyambung pengajian di USM dalam bidang pengurusan.

“Kecacatan yang saya alami langsung tidak menjadi batu  penghalang untuk saya mencapai kejayaan dalam pembelajaran dan juga hidup,’’ nyatanya ceria.