“Jangan main waktu kerja, jangan kerja waktu main,’’ YB Dato’ Farizan Bin Darus

Admin

OLEH : YAP LEE YING dan AINUL WARDAH SOHILI

GAMBAR : KHAIROL IKRAM SALAMAT

TATATERTIB dan disiplin menjadi pegangan asas Farizan Darus.
TATATERTIB dan disiplin menjadi pegangan asas Farizan Darus.

BULETIN MUTIARA (BM) : Terlebih dahulu, Buletin Mutiara mengucapkan tahniah di atas pelantikan YB Dato’ sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang baru. Adakah menjadi keutamaan YB Dato’ untuk meneruskan misi dan visi Kerajaan Negeri terutamanya dalam membawa Pulau Pinang mencapai status sebagai bandaraya bertaraf antarabangsa.

FARIZAN : Dalam memenuhi dan mencapai misi serta visi Kerajaan Negeri, ia merupakan cabaran utama kepada saya. Malah, adalah menjadi keutamaan kepada saya untuk memenuhi hasrat Kerajaan Negeri. Bercakap tentang visi untuk muncul sebagai bandaraya bertaraf antarabangsa, apa yang perlu saya tekankan adalah bagaimana untuk merealisasikan dan mencapai objektif tersebut. Intipati dan faktor terpenting yang berkait ke arah mencapai visi tersebut adalah penjawat-penjawat awam. Penjawat awam perlu dan sepatutnya telah bersedia, faham dan berusaha ke arah pencapaian tersebut yang sepatutnya menjadi arah hala tuju atau sasaran dalam pelaksanaan urusan-urusan seharian.

BM : Adakah YB Dato’ maksudkan yang penjawat awam kita belum bersedia ke arah itu. Apakah kriteria yang diperuntukan.

FARIZAN : Bersedia, memahami dan persediaan ke arah hala tuju ditetapkan merupakan kriteria paling penting yang perlu ada pada seseorang penjawat awam untuk mematarbatkan status negeri Pulau Pinang kepada tahap lebih tinggi. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab seseorang pemimpin atau ketua untuk memastikan sama ada kakitangan di bawah seliaannya memiliki ketiga-tiga kriteria ini. Perlu ditekankan bahawa seorang ketua bukan hanya memberitahu apa yang perlu dilakukan oleh seseorang kakitangan, malah, elemen penting adalah juga memantaua pelaksanaan. Ini kerana, dalam mencapai sesebuah visi, nilai KERJASAMA adalah amat penting. Kerjasama antara semua pihak termasuk antara majikan dengan kakitangan, jabatan dengan jabatan dan seterusnya. Mengulas mengenai persoalan sama ada penjawat awam kita bersedia atau tidak, pada hemat saya, penjawat awam telah bersedia tapi dorongan, panduan serta pemantauan perlu diteruskan dan ia juga adalah bergantung kepada tiga kriteria dinyatakan.

FARIZAN Darus menjelaskan mengenai cabaran beliau sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang baru.
FARIZAN Darus menjelaskan mengenai cabaran beliau sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang baru.

BM : Buletin Mutiara amat tertarik dengan penekanan nilai KERJASAMA dinyatakan YB Dato’ sebentar tadi. Apakah kepentingan nilai ini dalam merealisasikan visi Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

FARIZAN : Bagi saya, melalui penanaman nilai kerjasama, masalah pasti dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat. Oleh itu, adalah penting ia dipraktikkan di setiap jabatan. Seseorang pemimpin perlu memimpin, menjadi mentor, membantu dan menegur kakitangan di bawah seliaannya sekiranya perlu. Tidak terhad dengan itu sahaja, seseorang pemimpin perlu duduk, berinteraksi, berkomunikasi antara satu sama lain. Dengan ini, barulah pemupukan nilai kerjasama dapat diwujudkan di dalam sesebuah organisasi yang secara tidak langsung meningkatkan pemahaman serta persediaan para kakitangan berhubung visi organisasi. Sekaligus, ia juga sebagai jaminan kepada kualiti dan produktiviti sesebuah organisasi.

BM : Adakah disiplin menjadi asas pegangan YB DATO’ sejak bergelar seorang penjawat awam bermula pada tahun 1984.

FARIZAN : Bagi saya semuanya bermula dengan disiplin atau tatatertib. Contohnya, ketepatan masa dan kehadiran. Elemen ini merupakan perkara asas di dalam sesebuah pentadbiran. Pegangan saya adalah ‘Jangan main waktu kerja, jangan kerja waktu main’ sebagaimana saya dilatih ketika di sekolah asrama. Pada masa sama, kita juga jangan sesekali berpuas hati dengan apa yang kita miliki kini, sebaliknya ia perlu sentiasa berubah demi kebaikan dan kemajuan diri. Dalam pada itu, kita tidak boleh bersikap sombong tapi perlu sentiasa mensyukuri dalam apa jua perkara atas usaha yang dilakukan.