AIR ITAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang mengingatkan masyarakat agar tidak menyembunyikan ahli keluarga atau kenalan yang terlibat dengan najis dadah.
Katanya, implikasi ketagihan dadah bukan sahaja melibatkan seorang individu yang menagih, bahkan turut melibatkan komuniti dan masyarakat.
“Ketagihan dadah bukan beri impak kepada seseorang sahaja, tetapi kepada keluarga juga sebab ia mampu mengundang keganasan rumah tangga yang akan berlaku.
“Dari segi kewangan, kecurian akan berlaku, anak-anak berisiko kehilangan ibu atau bapa termasuk perkara yangg akan menyebabkan berlakunya perpecahan.
“Jangan malu untuk laporkan kepada pihak berkuasa sekiranya ada ahli keluarga atau orang yang kita kenali terlibat, bila lapor kita akan bantu dia, kita mahu pastikan dia (penagih) keluar dari gejala dan boleh berkhidmat dalam masyarakat,” ujar Soon Siang pada Program Skuad Sayangi Komuniti dekat Surau Kampung Melayu, Air Itam, kelmarin.
Hadir sama, Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang, Elmariah Chung dan pemimpin perigkat komuniti setempat.
Difahamkan untuk daerah Timur Laut, AADK mempunyai 1,217 klien yang sedang mendapat khidmat daripada agensi terbabit untuk tujuan pemulihan.
“Angka ini tidak begitu kecil dan tidak terlalu besar, kalau boleh kita mahu sifarkan terus lagi bagus, itu yang kita mahukan.
“Apa yang saya tahu di DUN Air Itam lokaliti yang menjadi hotspot dan perlukan perhatian serius adalah di Kampung Melayu ini sendiri dan Desa Mawar.
“Jadi saya harap dengan kempen ini, kita akan mampu untuk bantu individu-individu yang terjebak untuk pulih dan kembali dalam masyarakat secara normal,” katanya lagi.
Kempen tersebut akan mennyebarkan poster dan talian untuk dihubungi sekiranya terdapat individu dikenali terlibat dalam ketagihan dadah untuk dipulihkan dengan bantuan AADK.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT