Jangan perlekeh tugasan ADUN tangani isu rakyat, pesan Speaker

GEORGE TOWN – Sistem perparitan satu projek pembinaan dekat Kampung Pokok Asam yang tidak diuruskan secara baik, akhirnya mengakibatkan tujuh kali kejadian banjir melanda kawasan kampung berhampiran sejak bulan Disember tahun lepas.

Lanjutan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim berkata, isu malar segar tersebut mengakibatkan beliau sendiri beberapa kali diperlekeh ketika menjalankan tugas turun padang bagi membantu mangsa banjir.

“Apabila berkali-kali kejadian banjir terjadi, mereka (penduduk kampung) jadi putus asas.

“Mereka kata: Jangan turun selagi kamu tak boleh menangani isu banjir di kawasan kita, jangan main wayang,” jelasnya dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Yang Ke-14 di Dewan Sri Pinang di sini pada 30 April 2019.

Kata Siew Khim, Jabatan Kerajaan berwajib perlu turun padang bagi menangani masalah sistem perparitan di kawasan projek pemajuan dan bukan melepaskan tanggungjawab kepada wakil rakyat sahaja.

ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong ketika mencelah turut mengaku ada Ketua Jabatan tertentu langsung ‘tidak nampak’ turun padang di kawasan bencana, walhal semua Exco Kerajaan Negeri pun sanggup meranduk air bah bersama-sama ADUN demi menyalurkan bantuan kepada rakyat terbabit.

Menurutnya, sikap sambil lewa penjawat awam tertentu dalam melaksanakan tugasan mengakibatkan orang awam memandang serong kepada kepemimpinan Kerajaan Negeri termasuk para ADUN di peringkat kawasan.

Dalam pada itu, ADUN Penanti, Dr. Norlela Ariffin turut mengaku dipersenda dalam mesyuarat rasmi peringkat setempat, kerana menggesa pegawai jabatan Kerajaan berwajib supaya memandang serius isu banjir yang sering kali dihadapi penduduk kampung membabitkan kawasan beliau.

Menyimpulkan perkongsian pengalaman beberapa ADUN berkenaan, Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang memberi pesan secara umum itu kepada pihak terbabit.

“Jangan perlekehkan tanggungjawab wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat,” pesannya sebelum menangguhkan sesi pagi persidangan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING