Jangan sebar maklumat palsu kes COVID-19 berkaitan kilang – Abdul Halim

BATU MAUNG – Jangan melibatkan diri dengan aktiviti menyebarkan maklumat palsu mengenai kes jangkitan COVID-19 di kilang-kilang sekitar negeri Pulau Pinang.

Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain memberitahu bahawa perbuatan sebegitu mampu memberi kesan ekonomi yang lebih buruk lagi kepada masyarakat kini sedang mengharungi hidup yang mencabar.

“Kita bimbang apabila berita palsu ini tersebar ada individu mula takut untuk ke tempat kerja,

maka, dari situ tindakan seperti pemotongan gaji akan berlaku dan beri kesan kepada para pekerja.

“Sekiranya kilang tersebut ada kes positif dan sebagainya biarkan Kementerian Kesihatan Malaysi (KKM) melakukan tugasan mereka, bukan individu tertentu yang buat berita palsu dan menjadikan suasana itu lebih panik.

“Kini, difahamkan lima ke enam kilang terdapat kes positif dan KKM, pihak kilang juga ambil langkah sewajarnya, hasil lawatan juga kita dapati sememangnya kilang patuh pada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” ujar Abdul Halim dalam satu sidang media pada Majlis Sumbangan Pek Makanan Kepada  Golongan Isi Rumah Berpendapatan 40 Peratus Paling Rendah (B40) dan Petugas Barisan Hadapan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Pusat Khidmat DUN Batu Maung baru-baru ini.

Menurutnya, acara sumbangan tersebut adalah program usahasama Persatuan Pegawai Bersekutu APM Pulau Pinang dan Pusat Khidmat DUN Batu Maung.

Hadir sama, Pengarah APM Pulau Pinang, Lt. Kol. (PA) Cuthbert John Martin Quadra serta beberapa pegawai lain.

Tambah Abdul Halim, sebanyak 150 bakul makanan disumbangkan secara berperingkat bagi mematuhi SOP.

“Ada juga yang kita sendiri datang ke rumah-rumah untuk sampaikan bantuan, ada juga kepada nelayan dan lain-lain.

“Senarai penerima adalah dikalangan bukan penerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kerana bagi saya ada juga golongan miskin lain perlu dibantu,” jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung itu lagi.

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI