RAMAI pihak barangkali teruja dengan majlis pecah tanah projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang, Laluan Mutiara yang dijadual berlangsung pada esok (11 Januari 2025) berdekatan Lebuh Sungai 1, Bandar Sri Pinang.
Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp.) iaitu syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan) akan membina 22 stesen di bahagian pulau serta hanya satu stesen di bahagian Seberang Perai.
Projek pengangkutan awam darat moden berbasis rel ‘sulung’ itu dianggap penting dan relevan bagi menangani isu kesesakan trafik pada waktu puncak di Pulau Pinang terutama di sekitar George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Lebih dari itu, projek LRT Laluan Mutiara dikatakan bakal memacu kemajuan negeri Pulau Pinang, yang mana mungkin sedikit di belakang kemajuan Lembah Klang yang ketika ini telah mempunyai pelbagai mod dan jajaran LRT, Transit Aliran Massa (MRT), monorel, Express Rail Link Sdn. Bhd. (ERL) dan tren elektrik (ETS).
Dalam keterujaan pelbagai pihak menantikan projek mega negeri itu, penganalisis ekonomi dan korporat, ABAS A JALIL, 43, berkata Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan MRT Corp. wajar memastikan pelaksanaan projek LRT Laluan Mutiara nanti tidak mengulangi ‘kesilapan lama’ dalam pembinaan beberapa projek rel awam di Lembah Klang semasa pertengahan era 1990-an.
“Menyorot sejarah, jajaran (ERL) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan LRT Sri Petaling – Bukit Jalil dibina sempena temasya Sukan Komanwel pada tahun 1998 yang mana stesen-stesen hanya menumpu di pusat bandar raya sahaja.
“Walhal, tiap-tiap hari waktu bekerja menyaksikan trafik sesak kerana lambakan kenderaan peribadi mereka yang bukan tinggal di pusat bandar raya.
“Menyedari ‘kesilapan lama’ itu, barulah stesen bagi projek LRT 2, MRT 1 dan MRT 2 dimuktamadkan di kawasan pinggir bandar dan luar (bandar raya) Kuala Lumpur seperti Sungai Buloh, Kajang dan Putrajaya supaya penduduk ada opsyen untuk ke tempat kerja tanpa menggunakan kenderaan peribadi lagi.
“Bandar raya George Town pun macam Kuala Lumpur, siang sesak kerana di situ adalah tempat bekerja dan pelbagai kegiatan ekonomi, sementara malam tidak lagi sesak kerana semua telah pulang ke rumah masing-masing di pinggir bandar raya atau luar bandar.
“Justeru, dalam projek LRT Laluan Mutiara yang akan dibina ini, sepatutnya di bahagian Seberang Perai tidak patut ada hanya satu stesen sahaja iaitu di Penang Sentral, Butterworth.
“Sebaliknya, (dalam projek LRT Laluan Mutiara) perlu ada ‘stesen tambahan’ di Seberang Jaya, Bukit Mertajam, Kepala Batas dan Batu Kawan ke Penang Sentral.
“Tanpa ‘stesen tambahan’ ini, mereka yang tinggal di bahagian Seberang Perai tetapi kerja di bahagian pulau tetap akan memandu kereta sendiri dengan menempuh trafik sesak di Jambatan Pulau Pinang, berbanding bergerak dengan LRT Laluan Mutiara nanti.
“Stesen-stesen bagi jajaran LRT1 yang menumpu di kawasan bandar raya tidak dapat membendung lambakan kenderaan peribadi untuk masuk ke bandar raya pada waktu bekerja, jadi jangan ulang ‘kesilapan lama’ dalam projek LRT Laluan Mutiara,” jelasnya kepada wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas pada 10 Januari 2025.
Abas merupakan Ketua Eksekutif ACGL Group Sdn. Bhd., iaitu firma juruperunding antarabangsa dan merupakan ahli profesional berdaftar di bawah Malaysian Institute of Property & Facility Managers (MIPFM)b serta mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam industri hartanah.
Mengulas lanjut, Abas berkata sepatutnya Pihak Berkuasa Negeri menentukan stesen-stesen bagi projek LRT Laluan Mutiara berdasarkan tujuan hakiki projek rel awam moden itu mahu disegerakan, iaitu menangani kesesakan trafik dan lambakan kenderaan peribadi masuk ke bahagian pulau pada waktu bekerja.
“Masalah kesesakan trafik di Pulau Pinang bukan sebab rakyat yang tinggal di Pulau Pinang, tetapi sebab lambakan kenderaan masuk ke pulau termasuk mereka yang pergi kerja di KOMTAR dan George Town.
“Kecuali satu stesen di Penang Sentral (Butterworth), baki 21 stesen di Pulau Pinang itu untuk tujuan apa… kemudahan bergerak buat pelancong asing atau benar-benar untuk memudahkan mereka yang tinggal di bahagian Seberang Perai bergerak ke bahagian pulau.
“Dari segi lain, kalau salah satu stesen LRT Laluan Mutiara boleh dimuktamadkan di Pulau Silikon yang mana mungkin untuk merangsang minat orang awam membeli hartanah di kawasan tambakan laut itu, sepatutnya perlu ada juga satu stesen (LRT Laluan Mutiara) di Batu Kawan yang Kerajaan Negeri selalu anggap sebagai masa depan pembangunan negeri,” jelasnya lagi sambil merakamkan penghargaan atas tinjauan lapangan yang dibuat oleh pihak Buletin Mutiara.
Seorang pelabur digital, MUHAMMAD ZAHIR OSMAN, 47, pula berpendapat bahawa 22 stesen LRT Laluan Mutiara termasuk satu stesen sahaja di Penang Sentral, Butterworth ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri dan MRT Corp. barangkali mungkin mengambil kira aspek kekangan kewangan bagi membiayai projek mega tersebut.
“Cadangan mewujudkan ‘stesen tambahan’ di Batu Kawan, Seberang Jaya dan Kepala Batas ini sebenarnya relevan dan boleh dimasukkan dalam fasa satu projek LRT Laluan Mutiara, jika pelaksanaan projek tidak menghadapi kekangan kewangan ataupun kekangan tanah.
“Namun, oleh kerana Kerajaan Persekutuan telahpun mengambil alih projek LRT Laluan Mutiara pada pertengahan Mac tahun lepas (2024), patut projek tersebut tidak lagi ditangguhkan atas sebab kekangan kewangan,” jelasnya.
Sejak tahun 2010, Muhammad Zahir berkata Kerajaan Persekutuan melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tertentu beberapa kali telahpun menerbitkan bon korporat dengan jaminan kerajaan sendiri, bagi mempermudah proses pemajuan MRT1 termasuk kerja-kerja pengambilan tanah untuk pembinaan stesen.
“Kalau Kerajaan Persekutuan terdahulu boleh membiayai projek MRT1 secara ‘off-balance sheet financing’, takkan tidak boleh menggunakan kaedah pembiayaan sama untuk projek LRT Laluan Mutiara yang melibatkan beberapa cadangan pembinaan ‘stesen tambahan’ di bahagian Seberang Perai,” tanya beliau sambil memuji ketekunan pentadbiran Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow selama ini dalam berusaha menyegerakan kerja-kerja tanah bagi projek tersebut.
Seorang lagi responden, ZULKIPLY ISHAK, 55, berkata projek persekutuan tersebut akan meninggalkan pelbagai kesan pengganda (multiplier effect) dari segi limpahan ekonomi dan impak sosial, antaranya nilai hartanah akan meningkat secara ketara.
“Bermula 1 Januari 2025, MBSP menaikkan kadar cukai taksiran sehingga lima peratus mengikut kategori bangunan; begitu juga Kerajaan Negeri melakukan semakan cukai tanah berkuat kuasa mulai 1 Julai 2026 yang mana akan melibatkan pengelasan tanah desa ke bandar di beberapa lokasi di Pulau Pinang.
“Apabila projek LRT Laluan Mutiara ini siap kelak, sudah tentu akan meningkatkan nilai tanah dan hartanah di kawasan-kawasan berhampiran 22 stesen LRT itu nanti termasuk di Butterworth (Penang Sentral).
“Apabila nilai hartanah dan tanah meningkat maka, MBSP sudah tentu boleh mengutip lebih banyak hasil cukai daripada pemilik rumah, kedai dan bangunan komersial di samping cukai pembangunan bagi projek perumahan dan komersial baharu di Seberang Perai.
“Lebih banyak hasil cukai berjaya dikutip maka, lebih banyak projek infrastruktur pemangunan bandar raya termasuk kerja-kerja lanskap dapat dilaksanakan di bahagian Seberang Perai untuk dinikmati penduduk setemnpat,” jelasnya yang juga Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
Di samping itu, beliau berkata, projek LRT Laluan Mutiara juga akan merangsang lagi pertumbuhan ekonomi penduduk di Seberang Perai.
“Di mana sahaja ada Universiti Awam,sektor perniagaan di sini akan bertumbuh lebih cepat kerana ada kuasa membeli yang tinggi.
“Jadi, saya lihat projek LRT Laluan Mutiara ini akan merangsang lagi sektor perniagaan dan perdagangan, pelancongan dan perhotelan, perindustrian, serta perkhidmatan dan hiburan.
“Selain itu, pendapatan daripada infrastruktur sokongan seperti stesen bas dan terminal, kawasan parkir dan kedai-kedai juga dapat ditingkatkan,” jelasnya sambil memberitahu projek rel awam darat moden itu turut akan menggalakkan proses pembangunan bandar-bandar baharu di bahagian Seberang Perai.
Bagi AISHAH AMIN, 36-an pula, projek LRT Laluan Mutiara akan menggalakkan lagi pelaburan swasta dalam sektor permintaan domestik negeri.
“Umum mengetahui bahawa pembentukan modal tetap kasar (gross fixed capital formation) yang ditingkatkan adalah penyumbang terbesar pada pertumbuhan ekonomi (Keluaran Dalam Negara Kasar, KDNK).
“Contoh pembentukan modal tetap kasar yang ditingkatkan seperti pelaburan tetap bagi penyediaan infrastruktur, jentera, bangunan dan kenderaan sendiri bagi menyiapkan projek LRT Laluan Mutiara (yang mana) bukan sahaja MRT Corp. akan terlibat, malah syarikat bukan kerajaan juga akan terlibat, dengan tujuan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran dalam ekonomi.
“Projek LRT Laluan Mutiara ini bukan sahaja akan menjana pertumbuhan KDNK negara dan negeri, malah pendapatan isi rumah rakyat di sekitar Seberang Perai kerana projek itu sudah tentu mencipta lebih banyak peluang kerjaya untuk penduduk setempat,” jelasnya lagi.
Pada akhir tinjauan lapangan, seorang penuntut sebuah Universiti Awam, ANN MOHAMED, 20-an, pula berpendapat, LRT Laluan Mutiara akan dirasai secara ketara oleh penduduk Seberang Perai jika pihak berwajib memperbaiki lagi mutu perkhidmatan rangkaian bas pengantara sedia ada di bahagian Seberang Perai.
“Saya tidak kata bahawa sistem pengangkutan bas awam di Seberang Perai kini tidak baik, apabila Kerajaan Negeri hari ini memperbanyak rangkaian Rapid Penang; mewujudkan tempoh percubaan laluan khas bas; penyediaan pas bulanan Mutiara My50 untuk menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam; dan perkhidmatan bas percuma CAT (Congestion Alleviation Transport) dari Kepala Batas, Seberang Jaya dan Batu Kawan untuk mengurangkan kesesakan trafik pada waktu puncak di Jambatan Pulau Pinang.
“Cuma, kalau boleh Kerajaan Negeri melalui Digital Pulau Pinang boleh membangunkan aplikasi pintar penduduk Seberang Perai boleh melihat pergerakan bas dari semasa ke semasa, macam di negara-negara maju seperti (Republik Rakyat) Singapura.
“Kebiasaan, kita berasa payah menggunakan bas kerana terpaksa menunggu lama di hentian bas; apabila ada aplikasi pintar pergerakan bas bukan sahaja membantu rakyat yang tinggal di Seberang Perai merancang perjalanan menggunakan bas pengantara ke Penang Sentral, malah meningkatkan ketersambungan mod pengangkutan bas awam dengan LRT Laluan Mutiara apabila projek itu siap kelak,” jelasnya lagi.
Difahamkan, pada 10.00 pagi esok, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi dijadualkan mengiringi Perdana Menteri Y.A.B. Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menyempurnakan majlis pecah tanah projek LRT Laluan Mutiara di Bandar Sri Pinang.
Semoga projek LRT Laluan Mutiara bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup rakyat teramai di Pulau Pinang, malah turut menjana sokongan mereka kepada usaha kerajaan hari ini.