Jangka penggunaan air musim Aidilfitri meningkat, PBAPP lancar pelan kontigensi

Admin
img 8511 K. Pathmanathan

GEORGE TOWN – Ekoran hujan yang begitu lebat pada petang semalam, paras air Sungai Muda ke Muka Sauk dekat Lahar Tiang berada pada ketinggian 2.12 meter (m) ketika ini menjadikan bekalan air di negeri ini adalah dalam keadaan terkawal.

Pada pagi tadi (9 April 2024) didapati kapasiti efektif Empangan Mengkuang adalah 89.6 peratus, sementara Empangan Teluk Bahang (64.5 peratus) dan Empangan Air Itam (33.3 peratus).

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dalam kenyataan bertulis terbarunya memberitahu Empangan Mengkuang yang berfungsi sebagai ‘empangan strategik kemarau’ hanya akan melepaskan air apabila air mentah dari Sungai Muda yang diabstrak ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua adalah dalam keadaan tidak mencukupi.

“Pada 7 April 2024, paras air Sungai Muda, sumber air mentah utama Pulau Pinang, adalah 2.12 meter (m) di muka sauk Lahar Tiang PBAPP, iaitu melebihi ‘paras selamat’ 2.0m.

“Air mentah yang diabstrak dari Sungai Muda digunakan untuk mengeluarkan air terawat di LRA Sungai Dua.

“Kira-kira 85 peratus daripada 927 JLH air terawat yang digunakan oleh 689,786 pengguna air Pulau Pinang pada Februari 2024 telah dikeluarkan di LRA Sungai Dua.

“Buat masa ini, keseluruhan status bekalan air di Pulau Pinang adalah terkawal,” jelasnya Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir. K. Pathmanathan dalam kenyataan bertulisnya hari ini.

Pun begitu, menurutnya, PBAPP menjangkakan penggunaan air semasa musim perayaan Aidilfitri dan tempoh ‘balik kampung’ – dari 7 hingga 14 Mac ini – mungkin bersamaan 927 juta liter sehari (JLH) atau lebih.

Ini kerana, menurutnya lagi, penggunaan air yang direkodkan pada bulan Februari lepas adalah tinggi iaitu 927 JLH, iaitu 50 JLH lebih tinggi berbanding purata tahunan 877 JLH untuk tahun 2023.

Oleh hal demikian, beliau berkata PBAPP akan menggerakkan kumpulan 13 lori tangki air termasuk tiga lori tangki jumbo dengan kapasiti maksimum setiap satu 40,000 liter ke beberapa kawasan tanah tinggi dan hujung paip agihan (EoL) di sekitar Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) serta Relau dan Bukit Belah di Daerah Barat Daya.

“Rasional utama Pelan Kontingensi Air Hari Raya Aidilfitri 2024 PBAPP adalah jangkaan penggunaan air yang tinggi sebelum dan semasa musim perayaan yang panas dan kering.

“Langkah siap siaga untuk mengelak atau meminimumkan gangguan bekalan air tidak berjadual di Pulau Pinang,” jelasnya lagi.

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD