Jaringan laluan berbasikal 150km menjelang 2015

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

KETUA Menteri (tengah) menjulang basikal sebagai tanda sokongan mewujudkann Hari Tanpa Kenderaan di sini baru-baru ini.
KETUA Menteri (tengah) menjulang basikal sebagai  tanda sokongan mewujudkan Hari Tanpa Kenderaan di sini baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Hampir lebih 5,000 orang yang terdiri daripada penunggang basikal, penarik beca, peluncur ‘inline skates’, peserta senam aerobik dan ahli pancaragam membanjiri Lebuh Pantai bagi memberi sokongan kepada Majlis Pelancaran Hari Tanpa Kenderaan atau ‘Car Free Day’ di sini baru-baru ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengelola, Ar.Patahiyah Ismail, Hari Tanpa Kenderaan merupakan hasil inisiatif Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) bersama Persatuan Berbasikal Pulau Pinang, Persatuan Rekreasi Pulau Pinang dan Kerajaan Negeri dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang bukan sahaja hijau malah lebih bersih dan selamat.

Malah, tambah Patahiyah lagi yang juga merupakan Yang diPertua MPPP, Pulau Pinang kini menjadi negeri pertama yang melaksanakan Hari Tanpa Kenderaan pada setiap hari Ahad dari jam 7 pagi sehingga 5 petang.

Antara laluan yang terlibat ialah laluan Lebuh Pantai, Gat. Lebuh Gereja, sebahagian Lebuh Gereja dan sebahagian Lebuh Bishop sehingga Jalan Penang.

“Beberapa laluan sekitar Esplanade akan ditutup bagi memberi ruang kepada penunggang basikal, pelancong tempatan mahupun luar negara dan penarik beca melalui dan menikmati suasana indah sepanjang kawasan bersejarah George Town,” ujar Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam ucapan pelancaran beliau.

SEBAHAGIAN daripada 5,000 peserta yang turut serta dalam Majlis Pelancaran Hari Tanpa Kenderaan di sini baru-baru ini.
SEBAHAGIAN daripada 5,000 peserta yang turut serta dalam Majlis Pelancaran Hari Tanpa Kenderaan di sini baru-baru ini.

Hadir sama pada majlis pelancaran tersebut adalah beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, antaranya Abdul Malik Abul Kassim, Danny Law Heng Kiang, Chow Kon Yeow, Lydia Ong Kok Fooi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Koid Teng Guan.

Selain itu, Ketua Menteri turut mengumumkan pemberian saguhati kepada penarik beca yang turut serta dalam Hari Tanpa Kenderaan sebanyak RM100 setiap bulan. Setiap penarik beca yang turut serta dalam acara tersebut hanya perlu berada di kawasan yang akan ditetapkan kelak sekitar dua jam bagi membolehkan pengunjung menikmati keindahan George Town tanpa kehadiran kenderaan bermotor.

“Kerajaan Negeri ingin membantu penarik beca sepenuh masa dengan memberi RM20 seminggu dan sekiranya mereka turut serta sepanjang empat minggu, Kerajaan Negeri akan bagi bonus RM20,” tambah beliau.

Ketua Menteri turut mengumumkan bahawa menjelang 2015, Pulau Pinang akan mempunyai jaringan laluan berbasikal sepanjang kira-kira 150 kilometer merangkumi tiga kategori iaitu laluan berbasikal pesisiran pantai di kawasan timur dan utara pulau, laluan berasingan di atas jalan dan laluan tanpa lorong berasingan di atas jalan yang turut melibatkan zon warisan sepanjang 7.81 kilometer.

“Kerajaan Negeri dan MPPP kini dalam usaha menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah hab berbasikal yang utama di Malaysia,” tambah beliau lagi.

Dalam pada itu, dua individu yang mencuri tumpuan pengunjung pada hari tersebut tentulah pemilik basikal ‘Pennyfarthing’, Timothy Wooi, 51, dan pemilik basikal tua, Mubarak Omar, 63.