JATI hargai keprihatinan KN

Admin

GEORGE TOWN Pengarah Akademi Penyelidikan dan Analisis Sosio-ekonomi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tindakan Warisan Tanjong Tokong (JATI), Datuk Dr. Wazir Jahan Karim sangat menghargai keprihatinan Kerajaan Negeri dan berterima kasih kepada Ketua Menteri kerana telah melaksanakan langkah-langkah wajar bagi mewujudkan Zon Warisan Tanjong Tokong di sini.

Ini adalah ekoran inisiatif dan desakan Kerajaan Negeri berhubung pemeliharaan Kampung Tanjong Tokong sebagai Zon Warisan Tanjong Tokong dan turut menyokong cadangan untuk memelihara sebahagian kampung yang telah wujud sejak 1785 itu.

DATUK Dr. Wazir Jahan Karim menunjukkan proposal Zon Warisan Tanjong Tokong pada sidang media di sini baru-baru ini.
DATUK Dr. Wazir Jahan Karim
menunjukkan proposal Zon Warisan
Tanjong Tokong pada sidang media di
sini baru-baru ini.

Dr. Wazir berkata, dalam usaha merealisasikan inisiatif tersebut, suatu dosir Tanjong Tokong telah mencadangkan bahawa pentadbiran zon warisan dibuat melalui sebuah perbadanan yang dikenali sebagai Yayasan Melayu Pulau Pinang (YMPP).

“YMPP akan membantu kelestarian warisan dan budaya Melayu Pulau Pinang.

“Selain membaiki dan memulihara kampung, tapak dan rumah Melayu tradisional agar sejarah serta identiti Melayu\ dapat dikekalkan di Pulau Pinang, YMPP juga akan membangunkan keupayaan pencapaian ekonomi Melayu di negeri ini,” ujarnya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Turut serta, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Tambah beliau, rata-rata penduduk di kampung tersebut setuju untuk dikonservasikan dan digazetkan sebagai zon warisan.

“Malah, mereka juga tertarik dengan konsep zon warisan dicadangkan memandangkan ia membolehkan penduduk kampung mengusahakan industri kecil dan sederhana di samping melibatkan diri dalam mewujudkan industri inap desa,’’ ujar beliau.

Dalam pada itu, Guan Eng memberitahu, Kerajaan Negeri sedaya upaya membantu mana-mana pihak yang tampil dan mempunyai isu berkaitan rakyat termasuk soal zon warisan.

“Dalam isu zon warisan ini, Kerajaan Negeri telah menghantar dua pucuk surat bertarikh 9 Mac 2010 dan 16 Mac 2012 kepada Menteri di Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim.

“Kita (Kerajaan Negeri) telah meminta supaya kerajaan persekutuan mengarahkan UDA Holdings untuk memelihara sebahagian tanah di Kampung Tanjong Tokong sebagai Kampung Warisan Melayu dan mengkaji semula draf agar kampung warisan Melayu untuk kampung Melayu tertua dan bersejarah ini dapat dikekalkan,” ujarnya.

Tambah Guan Eng, sungguhpun surat Kerajaan Negeri hanya dibalas pada 16 April 2012 lalu, ia merupakan langkah positif apabila kementerian akan memanjangkan syor berkenaan kepada Jabatan Warisan Negara untuk penelitian awal terhadap isu-isu yang telah ditimbulkan.