GEORGE TOWN – Golongan belia berperanan penting bukan sahaja sebagai pemimpin masa hadapan malah dalam pembangunan serta kemajuan negeri dan juga negara.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, belia merupakan aset yang berharga dan perlu digembleng bagi menyediakan golongan pelapis berkaitan pada masa hadapan.
“Saya percaya melalui jawatankuasa ini, belia dapat digemblengkan sama ada melalui latihan ataupun kemahiran demi pembangunan negeri ini,” ujarnya pada Majlis Berbuka Puasa dan Bantuan Ramadan 2022 anjuran Persatuan Belia Jalan Kedah (PBJK) di Kompleks Jalan Kedah dekat sini pada 23 April 2022.
Hadir sama, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Wong Yuee Harng; Timbalan Pengerusi PBJK, Mohamad Nor Kalandar Mastan; Setiausaha PBJK, Hisham Iqbal; wakil-wakil daripada Persatuan Penduduk Kompleks Jalan Kedah; Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat serta wakil-wakil daripada persatuan-persatuan gabungan.
Mengulas lanjut mengenai peranan PBJK dalam melahirkan golongan profesional, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota memuji inisiatif yang dimainkan oleh persatuan belia tersebut.
“Hal ini merupakan sesuatu yang menyenangkan hati saya sebagai Ketua Menteri apabila terdapat belia di sini (Kompleks Jalan Kedah, khasnya) yang mencapai kejayaan dalam profesion mereka.
“Syabas juga kepada PBJK kerana menganjurkan semula majlis berbuka puasa dan pemberian sumbangan sempena Ramadan dalam membantu golongan asnaf di kawasan Tanjong, setelah dua tahun tergendala akibat pandemik COVID-19,” katanya.
Menurut Kon Yeow, pihaknya ambil maklum akan keadaan rakyat sepanjang pandemik lalu, yang mana setiap individu menghadapi pelbagai kesulitan serta cabaran termasuk sumber pendapatan dan pemberian sumbangan berkurangan.
“Malah ada (individu) yang hilang pekerjaan, hilang perniagaan…namun kita tetap tabah dan bersatu padu dalam menghadapi musibah yang begitu besar.
“Syukur kerana kini keadaan semakin pulih, sektor-sektor ekonomi juga kembali pulih dan membolehkan kita terus mencari nafkah.
“(Dan) pada masa sama, kita perlu ambil peduli tentang jiran dan sahabat-sahabat lain yang mungkin masih terkesan akibat pandemik serta cuba membantu dalam apa juga bentuk.
“Dalam sumber kewangan yang terhad, Kerajaan Negeri telah membelanjakan hampir RM200 juta untuk menangani kesan akibat COVID-19, termasuk memberi bantuan kewangan serta pengecualian bayaran cukai dan sebagainya,” jelasnya sambil menyifatkan tempoh pandemik merupakan tempoh yang sukar dan paling mencabar buat negeri Pulau Pinang, khasnya.
Sementara itu, Pengerusi PBJK, Daud Mustaqim Inayathullah memberitahu bahawa penyaluran bantuan kepada kelompok asnaf di sekitar Tanjong khasnya di Kompleks Jalan Kedah sejak tahun 2000 tetap diteruskan meskipun dalam tempoh pandemik yang lalu.
“Pihak kami (PBJK) memfokuskan pemberian bantuan kepada ibu atau bapa tunggal, orang kurang upaya (OKU), mereka yang mempunyai komplikasi kesihatan teruk dan juga daripada kelompok B40.
“PBJK komited menjaga kebajikan masyarakat setempat, dan hari ini pihak kami berbesar hati menyerahkan sumbangan berbentuk wang tunai sebanyak RM150 masing-masing kepada kira-kira 150 asnaf.
“Semoga pemberian ini dapat meringankan sedikit bebanan kewangan kepada mereka yang memerlukan ini,” katanya.
Terdahulu, Kon Yeow meluangkan masa selama sejam menyantuni dan beramah mesra dengan asnaf, OKU penglihatan dan pendengaran yang turut hadir pada majlis berkaitan serta menyampaikan sumbangan RM15,000 kepada PBJK dan berbuka puasa bersama-sama.
Selain nasi hujan panas, kurma kambing, ayam masak merah dan jelatah nenas, tetamu yang hadir turut disajikan dengan bubur lambuk, kuih-muih dan teh halia yang menjadi minuman wajib berbuka puasa di sini.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR Video : AHMAD ADIL MUHAMAD