Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang putuskan ajaran, pegangan GISBH sesat

Admin
whatsapp image 2024 10 18 at 12.32.29

GEORGE TOWN – Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang memutuskan bahawa ajaran, pegangan dan fahaman dalam Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) adalah sesat dan bercanggah dengan ajaran Islam sebenar.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata GISBH dan rangkaiannya didapati masih meneruskan pegangan serta amalan Darul Arqam dan Syarikat Rufaqa’ Corporation Sdn. Bhd. (SRC) yang telah difatwakan sesat.

Beliau berkata, keputusan itu juga adalah selari dengan keputusan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali ke-125 pada 24 hingga 26 September lalu.

“Keputusan Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang bersandarkan maklumat terperinci dan bukti sahih daripada Bahagian Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang.

“GISBH didapati menyeleweng dari sudut akidah kerana menyakini bahawa Syeikh Muhammad As-Suhaimi tidak mati tetapi ghaib dan akan muncul sebagai Imam Mahdi, mnakala Ashaari Muhammad akan muncul sebagai pembantu Imam Mahdi di akhir zaman.

“Jemaah GISBH masih meneruskan amalan Aurad Muhammadiah atau Zikir Agung versi Darul Arqam yang telah difatwakan sesat sebelum ini.

“Mereka juga meyakini amalan bertabarruk atau mengambil berkat iaitu air basuhan anggota badan pemimpin GISBH dan air rendaman seperti rambut dan janggut pemimpin mempunyai berkat,” katanya pada sidang media dekat Pejabat JHEAIPP dekat Lebuh Pantai di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sohibus Samahah Prof. Madya Dr. Mohd. Sukki Othman; Pengarah JHEAIPP, Marzuki Hassan; Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato’ Roshidi Hussain.

Pulau Pinang menjadi negeri keenam yang memfatwakan ajaran dalam GISBH sebagai haram dan menyinbang daripada ajaran Islam selepas Perlis, Selangor, Pahang, Sabah dan Melaka.

Mohamad yang juga Yang diPertua MAINPP berkata sistem ekonomi yang diamalkan oleh GISBH pula mempunyai unsur perhambaan dan penindasan terhadap mereka yang terlibat serta eksploitasi ke atas ahli, kanak-kanak dan wanita.

“Justeru, orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan adalah dilarang dan diharamkan untuk beramal atau berpegang dengan fahaman atau amalan yang mempunyai persamaan dengannya.

“Orang Islam juga diharamkan menjadi pengikut atau mengisytiharkan diri, berada dalam majlis, perayaan atau sambutan keraian yang boleh dikaitkan dengan fahaman, ajaran atau amalan yang mempunyai persamaan dengannya.

“Bahkan diharam memiliki, menyimpan, menerbitkan, menyalin, mencetak, menjual, mengedar atau menyiarkan apa-apa bahan berkaitan. Menganjur, menyokong, mengadakan atau membantu menjayakan apa- apa perayaan, sambutan keraian, majlis atau aktiviti,” katanya.

Mohamad berkata, Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang juga mengharamkan memberi apa-apa kemudahan, sumbangan, pembiayaan, bantuan atau sokongan secara langsung atau tidak langsung kepada mana-mana pihak yang mempunyai kaitan dengan GISBH.

“Oleh itu, mana-mana ahli jemaah GISBH dan orang Islam yang mengamalkan fahaman dan ajaran GISBH wajib bertaubat serta meninggalkan fahaman dan amalan tersebut dengan segera,” tegasnya.

Beliau berkata, bagi membantu memulihkan akidah jemaah GISBH, Kerajaan Negeri menyediakan Kompleks Darul Hidayah (KDH) Permatang Tok Gelam, Penaga sebagai pusat pemulihan akidah secara sukarela.

“Program-program pemulihan di KDH menekankan bimbingan asas agama Islam dan memperkukuhkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) berasaskan modul-modul seperti akidah, sirah, ibadah dan fikah.

“Sehingga kini, KDH belum menerima ahli GISBH untuk proses pemulihan akidah.

“Namun, Kerajaan Negeri melalui agensi dan jabatan berkaitan akan memastikan pelan pemulihan akidah ini dapat dilaksanakan dengan berkesan dan menyeluruh kepada ahli GISBH di Pulau Pinang,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD