Jawatankuasa Pemantauan Pembaharuan bangunan usang hadapi ‘kekangan perundangan’, respons Jagdeep

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang sejak tahun 2015 lagi menubuhkan Jawatankuasa Pembaharuan Semula bagi memantau bangunan-bangunan usang yang telah rosak di negeri ini.

Namun, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo memberitahu bahawa pihaknya ketika ini menghadapi ‘kekangan perundangan’ untuk melaksanakan skim pembaharuan semula bangunan penempatan awam.

“Rintangan terbesar yang kita hadapi adalah kekaburan undang-undang, sama ada perlu mendapatkan kebenaran atau persetujuan (secara) sebulat suara semua penduduk atau sebaliknya.

“Kerana, di negara lain, yang mana (skim pembaharuan bangunan seumpama) ini telahpun dilaksanakan, undang-undang khusus untuk pembaharuan semula tidak memerlukan persetujuan 100 peratus ataupun sebulat suara.

“Umpamanya, di negara Singapura memerlukan 80 peratus (persetujuan penduduk), (tuntutan) pampasan berwajib boleh dibuat.

“Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin sudah tahu perkara ini…mereka hendak rujuk perkara ini kepada Majlis Tanah Negara,” jelasnya ketika diminta mengulas mengenai seruan Zuraida supaya di semua negeri ditubuhkan jawatankuasa khas untuk memantau keadaan fizikal bangunan flat yang berusia lebih daripada lima tahun.

Baru-baru ini, Zuraida dilaporkan berkata, Kementeriannya tidak mahu lagi insiden seumpama bangunan empat tingkat Blok F di Flet Taman Keramat Permai di Ampang Jaya, Selangor yang terpaksa dikosongkan sejak 26 April lepas, berikutan beberapa keretakan teruk, dikesan condong ke satu arah, berulang di negeri-negeri lain.

Jagdeep memberi respons tersebut dalam sidang media bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Dewan Sri Pinang, iaitu tempat berlangsungnya Mesyuarat Pertama Pengggal Kedua Dewan Undangan Negeri Yang Ke-14 di sini pada 30 April 2019.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING
Video : CHAN KOK KUAN