Jawi House hipnosis pengunjung tentang budaya selera makan Jawi Peranakan

jawi PREMIS Jawi House Café Gallery.

MENGEMBARA ke Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town adalah tidak lengkap jika tidak menelusuri Lebuh Armenian.

Di sepanjang lorong sempit tersebut bukan sahaja terdapat deretan rumah kedai lama yang menyimpan seribu satu kisah termasuk semasa sejarah awal penempatan Melayu, malah juga kedatangan para pedagang berbangsa Armenia seawal tahun 1808.

Malah, di sini juga terdapat Jawi House Café Gallery (Jawi House), iaitu sebuah restoran dan galeri Jawi Peranakan yang menyajikan pelbagai makanan asli lokal.

Berbaloi kalau singgah ke restoran dan galeri tersebut yang didekorasi dengan pelbagai aksesori budaya, warisan dan sejarah awal Jawi Peranakan di sini.

jawi 2
NURILKARIM Razha menunjukkan beberapa buku hasil penulisan ibunya.

CHEF NURILKARIM RAZHA, 35, memberitahu bahawa asalnya Jawi House merupakan sebuah galeri pelbagai aksesori langka berkaitan Jawi Peranakan untuk para pengunjung datang dan membeli barang-barang antik tersebut.

“Asalnya Jawi House ditubuhkan oleh ibu saya, Prof. Datuk Dr. Wazir Jahan Karim pada tahun 2013 dengan hasrat yang begitu besar iaitu mahu memperkenalkan nilai warisan ketara dan tak ketara Jawi Peranakan kepada para pengunjung, sesuai dengan kedudukan Jawi House ini dalam kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.

“Semasa itu, ibu saya sedang menjalankan penyelidikan mengenai Jawi Peranakan dan beliau mahu tempat ini (Jawi House) menjadi tempat untuk para pelajarnya datang serta belajar tentang sejarah, latar belakang budaya (Jawi Peranakan) sambil meneroka karya-karya yang diterbitkannya di sini.

“Ruang terhad di sini menempatkan mengenai sejarah dan gaya hidup Melayu Tanjong sebelum era penjajahan British termasuk lukisan, imej serta buku.

“Istimewanya, Jawi Cafe sejak pada awal penubuhannya, terdapat beberapa menu ringkas serta istimewa untuk pengunjung… sambil melihat dan mungkin membeli lukisan serta buku terpilih, mereka boleh juga merasai menu ringkas di kafe ini seperti roti ‘sorai’, cucur udang dan beberapa hidangan lain asli Jawi Peranakan,” jelasnya kepada wartawan ZAINULFAQAR YAACOB dan juru gambar, ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI pada 5 Oktober 2024.

Hari demi hari, populariti kafe kian mendapat tempat di hati para pengunjung dan seterusnya mendorong Jawi House mempelbagai lagi resepi mengikut citarasa pelanggan, berdasarkan buku masakan Wazir Jahan iaitu ‘Feasts of Penang’,” ujarnya.

Tidak lama selepas itu, Chef Nurilkarim menyatakan bahawa pihaknya mengubah sedikit teras Jawi House dari sebuah galeri kepada restoran yang menyajikan pelbagai sajian asli Jawi Peranakan seperti briyani, nasi dalca dan beberapa menu istimewa lain seperti dalam buku resepi ibu.

“Memandangkan kulinari kafe sebagai tumpuan utama di Jawi House, galeri pameran di sini ditamatkan secara berperingkat, bagi menyediakan pelbagai lagi menu mengikut citarasa pelanggan.

“Jawi House tetap ada keunikan tersendiri pada menu utamanya yang menggabungkan selera asli Melayu, Punjabi dan Pakistan,” ulasnya lanjut.

Menurut Chef Nurilkarim, keunikan resepi berkaitan mungkin kerana kemajmukan budaya ibu yang berketurunan Punjabi-Pakistan, maka campuran dalam masakan yang dihidangkan itu cuba diharmonikan dengan rempah serta herba tempatan.

“Resepi masakan Jawi House kini menawarkan lebih 60 hidangan istimewa termasuk pencuci mulut… ada juga makanan berasaskan sayur-sayuran sahaja kerana permintaan daripada pelancong antarabangsa.

“Bagi makanan asli Jawi Peranankan, rempah seperti jintan manis, ketumbar, cili, lada dan kunyit mesti ada dalam masakan bagi meningkatkan aroma sajian.

“Menu popular di Jawi House antaranya Nasi Lemuni, daging masak hitam, ayam rose, briyani kambing, kuih serabai, laksa dan cucur udang.

“Jawi House yang diasaskan oleh ibu saya, kini diusahakan oleh saya sendiri, saya percaya telah menjadi antara tempat terpilih buat pengunjung tempatan dan pengembara antarabangsa yang memburu makanan citarasa warisan asli Jawi Peranakan Pulau Pinang,” katanya.

Jawi House beroperasi setiap hari kecuali Selasa, bermula 11 pagi hingga 9.30 malam.

Sambil menjamu selera, tanpa sedar, sekalian pengunjung turut akan disajikan dengan pengetahuan berkaitan kekayaan budaya termasuk budaya makanan warisan asli Jawi Peranakan Pulau Pinang.