SUNGAI ACHEH – Bagi menyemarakkan lagi semangat Ramadan, JCI Penang dan Pejabat Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar menganjurkan program memasak dan mengedar bubur lambuk kepada warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Acheh dan masyarakat sekitar dekat sini baru-baru ini.
Program yang turut mendapat kerjasama daripada Kelab Belia Mutiara Timur; CEA Penang dan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh itu bertujuan mengukuhkan semangat kemasyarakatan dan keprihatinan sosial sempena bulan Ramadan.
Pengerusi Program Ihya’ Ramadan Memasak dan Edaran Bubur Lambuk, Dr. Eric Ang berkata, selain meningkatkan semangat kerjasama dalam komuniti, program tersebut juga bertujuan mempromosikan nilai-nilai murni kemasyarakatan serta keprihatinan sosial dalam kalangan belia.
“Saya terinspirasi oleh kepimpinan dan keprihatinan YB (Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar, Dato’ Rashidi Zinol), terutamanya dalam usaha memperkukuhkan semangat perpaduan dan membantu golongan yang memerlukan.
“Beliau sentiasa menekankan kepentingan perpaduan dan kebersamaan dalam masyarakat, dan itu adalah nilai yang saya ingin bawa ke dalam program ini.
Saya percaya kita semua mempunyai peranan dalam membangunkan masyarakat yang lebih inklusif dan saling menyokong.
“Walaupun saya bukan beragama Islam, saya melihat Ramadan sebagai satu bulan yang penuh dengan nilai kemanusiaan—memberi, berkongsi, dan menyebarkan kebaikan.
“Ini bukan sekadar satu program amal, tetapi juga satu peluang untuk kita mengeratkan hubungan antara kaum dan menyemai semangat perpaduan dalam masyarakat,” katanya melalui kenyataan media bertarikh 21 Mac 2025.

Tambahnya lagi, program tersebut berjalan lancar dengan sokongan semua pihak termasuklah daripada Presiden JCI Penang, William Khoo dan juga Pengerusi Persatuan Usahawan Cina Pulau Pinang, Dr. Lee Eng Wah
“Saya ingin mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada mereka atas sokongan yang telah diberikan dalam merealisasikan inisiatif ini.
“Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta yang telah menjayakan program ini termasuk para sukarelawan serta masyarakat setempat,” jelasnya.
Selain bubur lambuk, pihak penganjur turut mengacau dodol untuk diedarkan. Edaran disempurnakan oleh Rashidi yang juga ADUN Sungai Acheh.

Sementara itu, Rashidi dalam hantaran Facebook menyambuat baik penganjuran program berkaitan yang dapat memupuk semangat kerjasama.
“Pihak saya sentiasa mengalu-alukan kerjasama daripada mana-mana pihak untuk menjalankan apa-apa program yang membawa manfaat kepada masyarakat setempat di Sungai Acheh ini,” katanya.
Gambar : JCI Penang