Oleh: MOHD. HAFIZ TAJUDIN
BAYAN LEPAS – Timbalan Perdana Menteri Thailand, Kittirat Na-Ranong baru-baru ini mengadakan lawatan rasmi ke negeri ini bagi merasmikan Jejak Warisan Siam yang terletak di Tanah Ranong berhampiran Dewan Sri Pinang, Jalan Padang Kota Lama di sini.
Kunjungan Kittirat yang juga Menteri Kewangan Thailand disambut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng di Lapangan Terbangan Antarabangsa Bayan Lepas di sini.
Turut serta, Timbalan Ketua Menteri I, Mohd. Rashid Hasnon; Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng; Exco Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan, Law Heng Kiang; dan Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh.
Pada majlis perasmian tersebut, Konsulat Jeneral Thailand di Pulau Pinang, Srirat Vathesatogkit ketika berucap menyatakan bahawa program berkenaan adalah penuh bermakna kerana meraikan satu warisan yang dikongsi bersama antara Pulau Pinang dan Thailand.
“Majlis ini juga adalah bagi memperingati 100 tahun keturunan keluarga Pulau Pinang – Thailand yang terkenal, Khaw Sim Bee Na-Ranong.
“Malah, melalui pertalian yang wujud, Pulau Pinang menjadi destinasi popular dalam kalangan rakyat Thailand samada bagi tujuan pendidikan, perniagaan mahupun pelancongan,’’ katanya di sini baru-baru ini.
Turut hadir pada majlis perasmian terbabit, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Datuk Ar. Patahiyah Ismail.
Tanah Ranong sebelum ini disumbangkan keluarga Khaw yang berasal dari Thailand pada lewat kurun ke-19 kepada Pulau Pinang untuk dijadikan sebuah kawasan rekreasi.
Antara tarikan Jejak Warisan Siam di negeri ini adalah Wat Chaiyamangkalaram di Pulau Tikus dan Kuil Wat Buppharam di Jalan Perak yang terletak selari dengan keunikan rumah bandar dibina Cheah Leong Keah pada tahun 1928 di Lorong Bangkok di sini.