Jejantas pejalan kaki terpanjang, tertinggi di Pulau Pinang dijangka siap pertengahan tahun

KEBUN BUNGA – Pembinaan jejantas pejalan kaki baharu yang menghubungkan Jalan Fettes dan Jalan Seri Tanjung Pinang dekat sini dijangka siap pada pertengahan tahun 2023.

 

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, jejantas pejalan kaki sepanjang 38 meter dengan ketinggian 9 meter itu bakal menjadi jejantas pejalan kaki terpanjang dan tertinggi di Pulau Pinang apabila siap kelak.

 

Jejantas pejalan kaki ini juga dilengkapi dengan lif di kedua-dua bahagian (Jalan Fettes dan Jalan Seri Tanjung Pinang) bagi memberi kemudahan kepada orang kurang upaya (OKU) dan warga emas selain memastikan keselamatan mereka.

 

“Turut disediakan adalah kemudahan lintasan belang berlampu syarat, tanjakan bagi kemudahan OKU berkerusi roda dan lain-lain ciri yang bakal memastikan keselamatan pejalan kaki,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di tapak pembinaan berhadapan Pusat Perniagaan Prima Tanjung (PTBC) pada 11 Februari 2023.

 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit; Setiausaha Bandaraya Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; Pengarah Kerja Raya Pulau Pinang, Ir. Ahmad Nadzri Abdul Majid dan Ahli Majlis MBPP, Connie Tan Hooi Peng.

 

Mengulas lanjut, Zairil memaklumkan bahawa projek pembinaan jejantas pejalan kaki ini telah dirancang untuk dilaksanakan sebelum ini namun mengalami kesulitan kerana melibatkan kemudahan utiliti di bawah tanah membabitkan PTBC dan pusat membeli-belah, Island Plaza.

 

 

KERJA awalan telah bermula sejak 3 Disember 2022.

 

“Walau bagaimanapun, semua isu telah selesai dan pembinaan sedang dijalankan, diharapkan projek ini dapat disempurnakan mengikut jadual,” katanya yang juga ADUN Tanjung Bunga.

 

Difahamkan, kos keseluruhan projek berjumlah RM2,088,158 berkaitan dibiayai pihak pemaju, I-Platinum Sdn. Bhd., iaitu anak syarikat Kumpulan Ideal sebagaimana disyaratkan oleh MBPP bagi pembangunan bercampur, i-Santorini di Persiaran Tanjung Pinang.

 

Teks & Gambar: AINUL WARDAH SOHILLI