Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF
GEORGE TOWN – Jejantas menghubungkan Komtar dan Jalan Penang atau lebih dikenali ‘jejantas sotong’ di sini bakal dirobohkan ekoran sambutan dingin para pejalan kaki berhubung tahap penggunaannya.
Bagaimanapun, Kerajaan Negeri melalui Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) bakal mendapatkan maklum balas daripada penduduk sekitar terlebih dahulu berhubung pelan perancangan berkenaan.
Pemangku Timbalan Pengarah Kejuruteraan MPPP, A. Rajendran berkata, satu kajian terperinci dan menyeluruh akan dilakukan terlebih dahulu bagi menentukan perlu atau tidak jejantas tersebut dirobohkan.
“Kita (MPPP dan Kerajaan Negeri) memberikan tempoh selama sebulan (30 hari) bagi membolehkan orang ramai serta pengguna menyatakan maklum balas sama ada bersetuju ataupun tidak berhubung pelan berkenaan.
“Berkemungkinan sekiranya dirobohkan, ia bakal digantikan dengan sistem lampu isyarat bagi memudahkan pengguna pejalan kaki melintas jalan,” ujarnya ketika membuat lawatan ke lokasi ‘jejantas sotong’ di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow dan Ahli Parlimen Tanjung, Ng Wei Aik.
Dalam pada itu, Guan Eng berkata, jejantas suram serta sunyi yang berusia 20 tahun tersebut dikhuatiri akan menjadi sarang maksiat dan tempat melakukan kerja tidak bermoral.
“Pejalan kaki lebih gemar melintas jalan daripada menggunakan jejantas ini.
“ Kita (Kerajaan Negeri) mencadangkan agar ianya dimansuhkan bukan sahaja kerana jarang digunakan, malah tidak mesra kepada orang kurang upaya (OKU) ekoran keadaan tangganya yang agak tinggi untuk dinaiki,” ujar beliau.