Jejantas sotong selamat dilengkapi CCTV

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Keselamatan di laluan awam terutamanya sekitar Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) terus diambil perhatian dan dipertingkatkan dengan pemasangan lapan unit kameralitar tertutup (CCTV) di laluan ‘jejantas sotong’ yang menghubungkan Komtar Walk antara Jalan Burma dan Jalan Penang di sini baru-baru ini.

CCTV bernilai RM20,000 hasil peruntukan Kerajaan Negeri mempunyai daya perakam imej lebih jelas dari yang biasa di samping kemampuan ‘zoom’ pada tahap lebih baik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Komtar, Ng Wei Aik berkata, kronologi pemasangan CCTV tersebut adalah sejak tahun 2010 lagi, namun, ditangguh sehingga ke tahun ini ekoran tiada kerjasama daripada pihak-pihak berkaitan dengan alasan bahawa lokasi tersebut kurang kadar jenayah.

“Saya sendiri kurang pasti dari mana mereka (pihak-pihak terbabit) mendapat statistik itu.

“Namun, apa yang pasti, jenayah seperti ragut, peras ugut, kes bunuh pernah terjadi di sini. Malah, aktiviti pelacuran dan mengemis turut dikesan berlaku,” katanya pada sidang media ketika membuat tinjauan khas di sini baru-baru ini.

Menurut Wei Aik, sistem CCTV di jejantas tersebut turut dihubungkan dengan bilik kawalan keselamatan Komtar yang beroperasi dalam tempoh masa 24 jam.

“Jika sebelum ini kita memperoleh maklum balas orang ramai enggan menggunakan jejantas ini disebabkan masalah keselamatan, kini, ia dilihat sebagai kepentingan dalam mengurangkan kadar kemalangan akibat tidak menggunakan jejantas di sini,’’ ujar beliau.

cctvdijejantasoctopus
NG Wei Aik (dua dari kiri) menunjukkan CCTV dipasang di ‘jejantas sotong’ yang menghubungkan Komtar Walk antara Jalan Burma dan Jalan Penang di sini baru-baru ini.