Jelajah Agrotourism demi tarik minat belia, bantu tangani kos sara rakyat, kata kementerian

Admin
KETUA Menteri (depan, kanan) mengiringi Mohamad Sabu (depan, tengah) melawat gerai pameran Siri Ke-3 Jelajah Agrotourisme dan Agrobelia 2023 di Padang Kota Lama di sini pada 25 Februari 2023.

GEORGE TOWN – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan terus komited untuk meremajakan sektor pertanian demi menarik lebih ramai golongan muda terlibat dalam agro pelancongan pertanian negara.

Demikian kenyataan bertulis kementerian berkenaan sempena penganjuran Jelajah Agrotourisme dan Agrobelia Kali Ke-3 yang dirasmikan oleh Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu serta disertai Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di perkarangan Dewan Bandaraya dekat Padang Kota Lama dekat sini pada 25 Februari 2023.

Kenyataan pihak kementerian dipetik berkata penganjuran karnival pada hari ini dan esok adalah rentetan kepada kejayaan dua siri jerayawara sebelum ini iaitu di negeri Johor dan Selangor.

“Dalam menjayakan agenda keterjaminan makanan negara, kementerian akan memastikan langkah bagi meremajakan sektor pertanian diteruskan dengan menggalakkan penglibatan golongan belia, mengaplikasikan teknologi pertanian moden dan mengukuhkan (penyelidikan dan pembangunan) R&D pertanian.

“Golongan belia dikenal pasti sebagai kelompok utama yang cenderung atau terbuka menerima teknologi pertanian moden selaras dengan IR4.0 (Revolusi Industri 4.0),” jelas pihak penganjur.

Buletin Mutiara difahamkan, bagi menjayakan matlamat tersebut, peringkat kementerian akan menawarkan kepada petani, penternak, nelayan dan usahawan agromakanan yang layak seperti pakej-pakej pelancongan berasaskan pertanian, pemadanan perniagaan dan kursus-kursus keusahawanan.

Di samping itu, menurut sumber, jerayawara tersebut diadakan berlandaskan konsep Malaysia Madani serta juga menganjurkan Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) demi membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI