Jelajah Belia, platform santuni belia setempat

Admin
whatsapp image 2024 05 30 at 17.27.37

PULAU BETONG – Konvoi @Balik Pulau sempena Jelajah Belia 2024 merupakan platform dalam menyantuni dan mendekati golongan belia pada peringkat akar umbi.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, ia adalah sebahagian langkah Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Belia Pulau Pinang (PYDC) untuk mengetahui keperluan golongan belia kini termasuk dalam penganjuran program dan aktiviti.

Program Jelajah Belia 2024 ini adalah langkah permulaan untuk Kerajaan Negeri turun ke akar umbi di kawasan luar bandar bagi mendapatkan idea dan hasrat belia.

“Program ini tidak hanya tertumpu pada konvoi sahaja, tetapi juga diselitkan dengan beberapa taklimat daripada agensi-agensi kerajaan,” ujarnya.

Zi Sen yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang hadir menyempurnakan pelepasan 52 peserta yang mengambil bahagian.

Hadir sama, ADUN Bayan Lepas, Dato’ Azrul Mahathir Aziz; Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Teluk Bahang, Ahmad Zaki Shah Shah Headan; PPK Pulau Betong, Ahmad Razaaim Azimi; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Edward Tan Chiew Choon; Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Pulau Pinang, Imran Syafiq, serta wakil-wakil daripada pertubuhan belia.

whatsapp image 2024 05 30 at 17.29.29
ANTARA peserta konvoi Jelajah Belia 2024. 

Difahamkan, konvoi yang bermula dari Dewan Gerakan Masyarakat singgah di beberapa agensi berwajib di daerah Barat Daya sebagai salah satu pengisian program.

Antaranya Jabatan Pertanian, Jabatan Penerangan, GiatMARA Balik Pulau, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan Balai Polis Teluk Bahang.

Menurut coretan PYDC melalui paparan di Facebook, para peserta dilihat sangat proaktif dan menggunakan peluang dengan sebaiknya apabila diberi ruang dalam sesi sembang santai.

“Pelbagai soalan dan cadangan dikemukakan, termasuk isu penagihan dadah dalam kalangan belia serta permintaan untuk membina litar lumba bagi membendung kegiatan lumba haram turut disuarakan mereka,” sebagai dipetik.

 

Oleh: NURUL HAWA FARAHIN HAMEDDY
Gambar : PYDC