Jelajah Bersih rapatkan MPSP, komuniti SPU

Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD


TELOK AIR TAWAR – Kira-kira 200 orang menyertai program Kayuhan Rakyat Dan Jelajah Bersih Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sejauh 38.7 kilometer merentasi jalan sekitar Kepala Batas ke Jalan Butterworth, Jalan Kubang Menerong, Jalan Gelugor, Jalan Pokok Sena sebelum kembali ke garisan penamat di Pantai Robina, di sini.

Ahli Majlis bagi MPSP, Amir Md. Ghazali berkata, inisiatif beberapa Ahli Majlisnya menganjurkan program itu diharap dapat mendekatkan MPSP dengan warga Seberang Perai Utara (SPU).

“Dengan inisiatif tersebut, terbukti bahawa ahli-ahli majlis komited untuk mendekatkan MPSP dengan seluruh penduduk Seberang Perai (Utara).

“(Melalui inisiatif) merakyatkan agenda bersih dan sihat, MPSP berharap dapat menyelami dan menyelesaikan masalah penduduk dengan aktiviti turun padang ini,” kata Amir baru-baru ini.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin menyempurnakan upacara pelepasan program itu, seawal jam 8.00 pagi dan selesai sekitar jam 12.00 tengah hari.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim, Mansor Othman (Ahli Parlimen Nibong Tebal), Ong Chin Wen (Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Tengah) dan Maimunah Mohd. Sharif (Yang di-Pertua MPSP) turut hadir pada majlis tersebut.

Serentak dengan program kayuhan rakyat tersebut, Amir berkata, pihaknya turut menganjurkan pelbagai acara seperti gubahan dari barangan terpakai, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, sukaneka, pameran informasi MPSP, gotong-royong, cabutan bertuah dan kenduri rakyat.

Sementara itu, Maimunah melahirkan penghargaan atas inisiatif beberapa Ahli Majlis MPSP menganjurkan program tersebut.
“Walaupun MPSP sudah lama ditubuhkan, ini merupakan program (seumpama ini) yang pertama kali diadakan di Seberang Perai.

“Inisiatif yang diambil oleh ahli-ahli majlis ini wajar dipuji kerana dapat bekerjasama bagi menjayakan program mendekati rakyat ini,” katanya.

Tambah Maimunah, MPSP kini sedang mempertimbangkan untuk menjadikan acara tersebut sebagai program tahunan pihak berkuasa
tempatan (PBT) tersebut.

“Program seperti ini harus diteruskan secara berkala bagi mendekati orang ramai untuk memberikan informasi dan kesedaran agenda bersih dan sihat, di samping, merapatkan MPSP dengan komuniti setempat,” ujarnya.