Jelas tender tertutup beli 831 kamera AES

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng mendesak Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha supaya menjelaskan tentang projek pembelian serta pemasangan 831 Kamera 1Malaysia Sistem Pengangkutan Automatik (AES) yang didakwa melalui proses tender tertutup yang tiada integriti ekonomi.

“Saya difahamkan bahawa hanya sembilan syarikat yang dipilih untuk menyertai tender sungguhpun tujuh (syarikat)sahaja yang mengemukakan tawaran.

“Kenapa tiada tender terbuka, tetapi, tender baru terpilih untuk pemasangan 831 kamera 1Malaysia di seluruh Malaysia,” ujar beliau barubaru ini di sini.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang turut mempertikai wibawa dua pemegang konsesi AES yang dilantik, iaitu ATES Sdn. Bhd. dan Betap Tega Sdn. Bhd. yang dipilih oleh kementerian.

Menurut Guan Eng, kedua-dua pihak itu mampu mendapat balik modal masing-masing melalui pengagihan surat keuntungan daripada saman yang dibayar melalui tiga peringkat:

Peringkat pertama – Untuk 5 juta saman pertama, RM16 setiap saman akan dikutip (RM80 juta).

Peringkat kedua – RM540 juta kutipan seterusnya dikongsi 50 peratus, iaitu RM270 juta. Kerajaan mendapat jumlah yang sama.

Peringkat ketiga – 7.5 peratus akan dikutip daripada keuntungan seterusnya.  Kerajaan akan mengutip yang berlebihan.

“Sekiranya RM5 bilion dikutip setiap tahun, kedua-dua pemegang konsesi akan untung RM80 juta di bawah
peringkat pertama, RM270 juta di bawah peringkat kedua dan RM350 juta di bawah peringkat bagi ketiga – jumlah lumayan sebanyak RM700 juta untuk kerja setahun.

“Yang nyata, dua pemegang  konsesi tersebut akan lebih mendapat manfaat sementara 28 juta rakyat Malaysia akan rugi.

“Jangan lupa bahawa RM500 BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) tidak boleh membantu rakyat jika anda mendapat dua saman yang berjumlah RM600…(maka) RM100 anda akan rugi,” tegas beliau.

Guan Eng memberitahu, selain daripada keuntungan RM700 juta setahun , terdapat juga tandatanya tentang kos besar yang didakwa oleh kedua – dua pemegang konsesi untuk pemasangan 831 kamera.  “Adakah ia bernilai RM600 – RM800 juta seperti yang didakwa kedua-dua syarikat tersebut untuk pemasangan 831 kamera yang bersamaan dengan R M 722 , 000 – RM962,000 setiap kamera?’’ soalnya.

Tegas beliau, kegagalan sebegini bukan perkara baru seperti yang dibuktikan dengan skandal RM365 juta Integrated Transport Information System (ITIS), di mana, sistem pemantauan trafik Kuala Lumpur telah dikenalpasti oleh Laporan Ketua Audit  Negara 2011 sebagai “tidak memuaskan” kerana berlaku ketirisan walaupun RM365 juta telah dibelanja.

“ Kementerian Pengangkutan harus bertanggungjawab penuh kepada pihak awam atas soalan-soalan mengenai AES dan sama ada tender terbuka telah dijalankan.

“Sekiranya isu-isu ini tidak ditangani, para pemandu Malaysia berhak marah kerana sekali lagi kroni-kroni Barisan Nasional (BN) mendapat manfaat sementara rakyat rugi,’’ ujarnya.

Kata Guan Eng, Pulau Pinang tidak akan membenarkan pemasangan kamera 1Malaysia tersebut sehingga penjelasan penuh diberi.

“Kong (Cho Ha) harus berpegang kepada arahannya bahawa kerajaan tempatan akan membuat keputusan
tentang pemasangannya, di mana pegawai-pegawai Kong (Cho Ha) telah mendapatkan kerjasama dan kelulusan Kerajaan Negeri dan tempatan untuk membuat pemasangan,’’ ujar beliau.