Jersi khas akan diterbitkan sempena memperingati Pulau Pinang juara Piala Malaysia’74 – Exco

Admin
c20a546e f1dc 46ca 86cd 57810da91da9 TUN Ahmad Fuzi Abdul Razak (tiga dari kanan) dengan diiringi Daniel Gooi Zi Sen (dua dari kiri), Dato Seri Mohammad Syed Murtaza (dua dari kanan), Noor Azrul bin Mansor (kanan sekali) dan Pengerusi Ex Penang, Ridzuan Putah (tiga dari kiri) semasa acara gimik pelancaran jersi khas negeri sempena memperingati Skuad Harimau Kumbang menjuarai Piala Malaysia 1974, di sini pada malam ini.

SEBERANG JAYA – Syarikat Kaki Jersi Sdn. Bhd. dengan kerjasama Penang FC akan menerbitkan semula ‘jersi istimewa’ sempena memperingati kejayaan Skuad Harimau Kumbang menjuarai Piala Malaysia pada tahun 1974.

ec97457a 0048 4da4 b5a9 de63167bfd3a
DANIEL Gooi Zi Sen

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen memberitahu kepada Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak semasa berucap dalam Majlis Makan Malam ‘Jasamu Dikenang’ anjuran bersama Persatuan Bola Sepak Melayu Pulau Pinang (PBMPP), Persatuan Bekas Pemain Bola Sepak Negeri Pulau Pinang (Ex Penang) dan Persatuan Olahraga Amatur Negeri Pulau Pinang (PAAA) di sini pada 10 Mei 2024.

“Kita juga akan melancarkan suatu jersi istimewa dengan kerjasama syarikat Kaki Jersi (iaitu) penaja utama jersi bagi Penang FC yang mana jersi istimewa berkaitan adalah bagi mengenangkan Pulau Pinang menjuarai Piala Malaysia pada tahun 1974.

“Hasil dana dari jualan jersi istimewa ini akan disumbangkan untuk kebajikan para bekas pemain boleh sepak negeri Pulau Pinang nanti,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang.

Dalam perkembangan lain, Zi Sen turut menzahirkan perasaan sedih dengan insiden pemain negara, Muhammad Faisal Abdul Halim yang disimbah asid sulfurik pekat baru-baru ini.

Mewakili Kerajaan Negeri, beliau telahpun menyampaikan sejumlah sumbangan kepada Abdul Halim Saad, iaitu bapa kepada pemain kelahiran negeri ini di kediaman mereka dekat Mengkuang Titi, Bukit Mertajam pada petang tadi.

b6603b11 ea4b 4914 9798 e9f9badf4b4a
DANIEL Gooi Zi Sen (dua dari kanan) turut menyerahkan cek replika sumbangan khas kepada isteri mendiang Moey Kok Hong iaitu bekas pemain bola sepak negeri di sini tadi.
704e8189 7189 4dbc 83be 3b6fa05ae8f7
TUN Ahmad Fuzi Abdul Razak menyerahkan sumbangan khas kepada Shukor Saleh di sini tadi.

Berucap sebelum itu, Presiden PBMPP, Noor Azrul Mansor menyatakan bahawa tujuan penganjuran majlis jamuan makan malam ini antara lain adalah bagi menghargai sekalian bekas pemain bola sepak negeri dan atlet amatur negeri.

Selain itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Presiden PAAA, Dato’ Seri Mohammad Syed Murtaza serta sekalian penaja lain di sebalik penganjuran bersama majlis makan malam bersama-sama Tun Ahmad Fuzi.

Serentak pada majlis sama, Tun Ahmad Fuzi dengan diiringi Zi Sen turut menyampaikan hadiah penghargaan kepada beberapa bekas pemain bola sepak negeri serta atlet amatur negeri, antaranya pemain lagenda bola sepak negara, Dato’ Shukor Salleh, 75.

Shukor merupakan kesebelasan utama Skuad Harimau Kumbang yang berjaya menjuarai Piala Malaysia 1974, selepas menewaskan Perak, 2-1 pada waktu itu.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS