GEORGE TOWN – Peminat dan penyokong pasukan bola sepak Penang FC (PFC) kini boleh mendapatkan jersi rasmi kelab berkenaan di Active Sports dekat tingkat 2, Komtar mulai hari ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow ketika merasmikan jualan pembukaan mengalu-alukan orang ramai khususnya penyokong PFC untuk mendapatkan jersi ‘original’ di premis sah berkenaan.
Pada kesempatan itu juga, beliau turut menzahirkan rasa gembira terhadap perkembangan bola sepak negeri Pulau Pinang yang kini sedang bersaing dalam kejohanan Liga Super.
“Saya gembira melihat semangat baru yang disuntik dalam bola sepak Pulau Pinang.
“Tahun ini kita bertanding di Ligar Super, dan kita akan kekal di Liga Super. Malah, sasaran kita adalah untuk berada dalam enam pasukan teratas.
“(Dan) saya percaya dengan sokongan para penyokong dan rakyat Pulau Pinang, kita mampu melakukannya,” ujarnya dengan penuh bersemangat.
Hadir sama, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Dr. Mohamad Farazi Johari; Penasihat Undang-undang Negeri, Dato’ Norazmi Mohd. Narawi; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Azhar Arshad serta Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri (CMI), S. Bharathi.
Dalam pada itu, Norazmi menasihatkan orang ramai supaya membeli jersi sah dengan harga yang telah ditetapkan di satu-satunya premis jualan rasmi sah di Pulau Pinang itu selain tempahan secara dalam talian.
“Apa yang kita buat adalah bukan sahaja berkenaan isu bola tetapi kita ada agenda yang lebih besar di sebalik Visi Penang2030.
“Jadi, kita nak mengumpulkan semua peminat, ahli-ahli sukan serta rakyat Pulau Pinang di bawah tema Sukan Untuk Semua atau Sports For All,” ujarnya.
Difahamkan, pusat jualan rasmi tersebut dibuka pada setiap hari dari jam 11 pagi hingga 7 malam kecuali cuti umum.
Harga jersi ‘original’ bagi perlawanan gelanggang sendiri (home) dan gelanggang lawan (away) dijual pada harga RM149 sehelai.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS