Jiangsu, wilayah ekonomi kedua terbesar Republik Rakyat China hasrat kukuhkan perdagangan dua hala dengan Pulau Pinang

GEORGE TOWN – Wilayah Jiangsu dengan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah AS$1.4 trilion, berada pada kedudukan kedua tertinggi di belakang Guangdong (AS$1.47 trilion) dalam senarai wilayah dekat tanah besar Republik Rakyat China, mengadakan pertemuan meja bulat dengan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang tengah hari tadi.

ZHOU Changqing.

Timbalan Pengarah Besar Jabatan Perdagangan Wilayah Jiangsu, Zhou Changqing memberitahu Exco Perdagangan Dalam Negeri & Antarabangsa, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain bahawa pihaknya berharap hubungan perdagangan melibatkan kedua-dua belah pihak terutama dalam sektor eksport dan import, pendidikan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D), industri makanan, peranti perubatan dan sektor elektrik dan elektronik (E&E) kian utuh serta berdaya saing.

“Perdagangan Wilayah Jiangsu dengan Malaysia merupakan 18 peratus daripada keseluruhan perdagangan Republik Rakyat China dengan Malaysia, agak begitu besar.

“(Pertemuan meja bulat) ini merupakan sebahagian rangka kerja di bawah Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) Republik Rakyat China, digarapkan kerjasama perdagangan Wilayah Jiangsu khusus dengan Pulau Pinang dapat dieratkan lagi.

“Pertemuan ini juga adalah untuk mempromosi aktiviti keusahawanan, supaya usahawan daripada Wilayah Jiangsu juga boleh keluar daripada pasaran sedia ada mereka untuk melihat potensi di Pulau Pinang sebagai rakan strategik bagi menembusi pasaran-pasaran global di rantau ini,” jelasnya kepada pemberita di St. Giles The Wembley Hotel di sini pada 10 Disember 2019.

Difahamkan, Wilayah Jiangsu dengan KDNK per kapita AS$16,087 adalah di kedudukan pertama berbanding wilayah lain di Republik Rakyat China.

Mempunyai populasi penduduk kira-kira 80 juta orang, kadar pertumbuhan GDP sebanyak 6.7 peratus.

Nilai jualan barangan runcit tahunan; nilai import dan eksport; pelaburan masuk ke pelabuhan; dan pelaburan ke luar negara bagi Wilayah Jiangsu masing-masing 9.28 trilion Remenbi Yuen, AS$664 bilion, AS$22.3 bilion dan AS$9.5 bilion.

DATO’ Abdul Halim Hussein (tengah) saling berbincang dengan Ketua Deligasi Wilayah Jiangsu, Zhou Changqing dalam pertemuan meja bulat di sini tadi.

Bercakap kepada pemberita, Abdul Halim berkata Kerajaan Negeri berharap pertemuan meja bulat ini dapat membina platform kerjasama perdagangan secara strategik dan langsung dengan melibatkan kedua-dua belah pihak.

Tambah beliau, dengan populasi penduduk Wilayah Jiangsu kira-kira 80 juta orang, diharapkan, delegasi Zhou Changqing dapat membawa lebih ramai pelancong perdagangan dan pelancong warisan ke bandar raya George Town.

“Walaupun Perang Dagang antara Republik Rakyat China dan Amerika Syarikat telah meninggalkan kesan yang begitu besar dalam pasaran global, tentulah impak berantai pada pasaran ekonomi negara (Malaysia) ada.

“Dari segi lain, Republik Rakyat China memang mengharapkan perdagangan dengan Amerika Syarikat dan Eropah berjalan seperti biasa, dan pada masa yang sama eksport komoditi dari negara Republik Rakyat China juga boleh berjalan seperti biasa.

“Jadi, Malaysia termasuk Pulau Pinang, secara pensejarahan pun, memang ada hubungan dagang yang baik dengan Republik Rakyat China, dan kita (Kerajaan Negeri) cuba mengukuhkan lagi hubungan dengan Wilayah Jiangsu (melalui pertemuan meja bulat) ini.

“Persamaan kondisi pelaburan antara Pulau Pinang dan Wilayah Jiangsu ada pelbagai, Jiangsu juga ada industri berteknologi tinggi, sektor E&E, juga dalam sektor pelancongan bagi bandar raya yang mempunyai pelbagai nilai warisan ketara dan tak ketara.

“Kita (Pulau Pinang) juga sama seperti Wilayah Jiangsu, mempunyai pelbagai kelebihan serupa ini.

“(Justeru), kita akan membuat langkah susulan daripada pertemuan meja bulat ini, bagaimana Pulau Pinang juga boleh ‘menjual’ keluar semua produk tempatan dari negeri ini, ke Republik Rakyat China terutama Wilayah Jiangsu,” jelas Abdul Halim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.

Penasihat Strategik Kepada Exco Perdagangan Antarabangsa dan Pembangunan Usahawan, Stephen Lai; Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Pulau Pinang, Yusni Md. Yusop; Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC), Jeffrey Chew Gim Eam; wakil InvestPenang; Pegawai Kanan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA); Ketua Pegawai Eksekutif Sunshine Wholesales Mart Sdn. Bhd., Cynthia Hwang dan beberapa lagi perwakilan lain turut menyertai pertemuan tadi.

Selain Zhou Changqing, delegasi Wilayah Jiangsu disertai oleh Wu Yong Li (wakil Jabatan Perdagangan Wilayah Jiangsu di Malaysia dan Singapura); Tao Lai Fu (Pengerusi Jiangsu LAI FU Agricultural Technology Co.); Liang Tian Ran (Pengurus Besar Jiangsu CheXianGuo Used Car Trading Market); Xia Shu Nong (Pegawai Biro Pembangunan Bandaraya Wilayah Jiangsu) dan Dang Wei Ling (Pengerusi Pusat Agihan Logistik Barangan Peranti Perisian dan Pertanian Bandar Nanjing).

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI