Jika diberi peluang, belia pasti dapat cipta sejarah & memimpin pembangunan negara – Ketua Menteri

Admin

GEORGE TOWN – Golongan belia di negara ini seharusnya diberi peluang untuk menguasai ilmu pengetahuan yang merupakan teras pembentukan bangsa cemerlang dan berjaya.

 

Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow berkata, dengan ketinggian jati diri, akhlak dan budi, golongan belia bukan sahaja penting dalam pembangunan negara malah juga bagi menjamin kesejahteraan serta perpaduan rakyat pada masa hadapan.

 

“Belia perlu diberi peluang untuk menyertai pembangunan negara kerana mereka bukan sahaja akan memacu kemajuan, malah juga dapat memastikan kestabilan politik, ekonomi serta sosio-budaya pada masa hadapan.

 

“Saya percaya sekiranya diberi peluang, belia pasti dapat mencipta sejarah dan memimpin pembangunan negara selaras dengan inisiatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang ke arah memperkasakan rakyat dengan mengukuhkan penyertaan awam.

 

“(Dan) selaku Kerajaan Negeri, kita amat komited memastikan segala perancangan pembangunan negeri selaras dengan visi Penang2030,” ucapnya pada Majlis Penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri Pulau Pinang 2019 di sini tadi.

 

KETUA Menteri menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara yang diadakan sempena Sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Pulau Pinang 2019 di sini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Dr. Waitchalla R.R.V. Suppiah; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang, Zul Fadhli Abd. Aziz; Presiden Majlis Belia Negeri Pulau Pinang, Lim Swee Bok dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang, Frederick Tan Teck An.

 

Turut berucap, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk APBN Peringkat Negeri Pulau Pinang.

 

Dalam pada itu, menurut Kon Yeow, visi Penang2030 bukan sahaja menjurus terhadap peningkatan kualiti kehidupan dan pendapatan isi rumah, tetapi juga menjamin persekitaran fizikal yang lebih baik, hijau serta pintar.

 

“Semua perancangan dan pembangunan negeri sehingga tahun 2030 akan bersifat holistik dan inklusif serta berlandaskan nilai kekeluargaan.

 

“(Dan) ini sekaligus membuktikan bahawa Kerajaan Negeri sememangnya amat komited dan sentiasa berusaha dalam merealisasikan hasrat tersebut dengan menggalakkan penyertaan semua rakyat negeri ini termasuk golongan belia,” katanya yang turut berkongsi kisah hidupnya ketika zaman remaja dahulu yang mana peluang untuk menyertai pertubuhan belia adalah amat terhad ketika itu.

 

Pada majlis tersebut, sebanyak tiga kategori anugerah diumumkan iaitu Anugerah Belia Negeri (Lelaki), Anugerah Belia Negeri (Wanita) dan Anugerah Pertubuhan Belia Negeri.

 

Bagi Anugerah Belia Negeri (Lelaki), Hazrul Hafizi Abdul Halim daripada Majlis Belia Daerah Seberang Perai Selatan dinobatkan sebagai juara.

 

Manakala Mohamad Adib Anas Md. Noor daripada Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Penanti dan Ahmad Zaki Shah Shah Headan daripada Gerakan Belia 4B Balik Pulau masing-masing dinobatkan sebagaj Naib Johan dan pemenang tempat ketiga.

 

Bagi kategori wanita, Ameera Nadia Mohd. Shafiee daripada Gerakan Belia 4B Nibong Tebal (johan); Baidura Yaacob daripada Persatuan Pandu Puteri Seberang Perai Tengah (kedua) dan Hazwani Abdul Hallik daripada GPMS Bayan Lepas (ketiga).

 

Johan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 berserta piala iringan dan sijil penghargaan manakala bagi tempat kedua, wang tunai RM1,500, trofi sumbangan Ketua Menteri dan sijil dan ketiga, wang tunai RM500 berserta trofi.

 

Bagi kategori Pertubuhan Belia Negeri, Persatuan Belia Bakar Kapor, Seberang Perai dinobatkan sebagai johan dan membawa pulang wang tunai RM10,000 berserta piala iringan, sijil dan piala pusingan sumbangan Ketua Menteri.

 

Manakala Kelab Bell Belia Tamil Taman Desa Ria, Daerah Barat Daya, kedua dan membawa pulang RM5,000, piala iringan dan sijil serta tempat ketiga Persatuan Junior Chamber International Nibong Tebal membawa pulang RM500 berserta trofi sumbangan Ketua Menteri.

 

APBN mula diperkenalkan pada tahun 1988 bagi mengiktiraf dan memberi penghargaan kepada individu serta pertubuhan belia yang telah menyumbang bakti dalam pembangunan belia negara.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : ALVIE CHENG