Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
GEORGE TOWN – Caj tarif air di negeri Pulau Pinang adalah yang terendah berbanding negeri-negeri lain dalam negara, namun, penggunaan air di sini (Pulau Pinang) adalah yang tertinggi iaitu 291 liter padu pada 2010 berbanding purata penggunaan nasional 203 liter padu pada tahun sama.
Dalam pada itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Bekalan Air (PBA) Pulau Pinang menyatakan bahawa walaupun purata penggunaan air di Pulau Pinang turun dari 291 liter padu pada 2010 ke 285 liter padu, kadar penggunaan tersebut masih disifatkan sebagai pembaziran memandangkan Kerajaan Negeri mensasarkan purata penggunaan adalah pada 233 liter padu.
“Pembaziran bukanlah hak mutlak rakyat. Kita (Kerajaan Negeri) tidak akan menaikkan tarif air, tetapi, akan berusaha mencari penyelesaian terhadap pembaziran air selain menaikkan WCS.
“Pulau Pinang bukan sahaja menawarkan kadar tarif yang rendah, malah, kualiti air adalah yang terbaik di Malaysia dan pada masa sama, kuantiti juga banyak.
“Oleh itu, saya ingin menyeru rakyat Pulau Pinang menyokong hasrat murni Kerajaan Negeri dan PBA dalam usaha mengurangkan pembaziran air dan tahap kebocoran air di Pulau Pinang. Air penting dalam memastikan kelestarian pembangunan,” ujarnya ketika melancarkan Sambutan Hari Air Sedunia 2012 Peringkat Negeri Pulau Pinang di Taman Perbandaran di sini baru-baru ini.
Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah PBA; Pengarah Negeri Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Kapten Ir. Anuar Yahya; Pengurus Besar PBA, Ir. Jaseni Maidinsa dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh.
Sambutan tersebut turut diserikan dengan pelbagai acara termasuk pameran korporat oleh beberapa agensi antaranya Persatuan Pengamatan Air Pulau Pinang (Water Watch Penang), PBA, Jabatan Alam Sekitar, Indah Water Konsortium dan Universiti Sains Malaysia (USM).
Tambah Guan Eng, sebagai inisiatif bagi mengelak pembaziran penggunaan air di negeri ini, PBA telah memperkenalkan ‘Water Conservation Surcharge’ (WCS) bermula tahun lalu dengan kadar caj sebanyak RM0.24 bagi setiap 1,000 liter padu sekiranya penggunaan air melebihi 35,000 liter padu sebulan.
“Bagi penggunaan 35,000 liter padu pertama setiap bulan, tarif yang dikenakan adalah RM0.31 setiap liter padu iaitu suatu jumlah yang terendah di Malaysia. Malah, tarif tersebut lima kali ganda jauh lebih rendah berbanding tarif semasa di Malaysia.
“Dengan cara ini (WCS) sahaja kita mampu menangani masalah pembaziran air dan penggunaan air melebihi had yang sepatutnya,” ujar Ketua Menteri yang turut bercadang untuk menaikkan WCS sekiranya kadar penggunaan air tahunan melebihi purata penggunaan air nasional.