JKKK Sg. Jawi juara sepak takraw

JAWI – Pasukan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Sungai Jawi muncul juara apabila berjaya menewaskan 51 pasukan lain dalam Kejohanan Sepak Takraw Piala Pusingan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee di sini baru-baru ini.

Kemenangan tersebut membolehkan pasukan berkaitan meraih hadiah wang tunai berjumlah RM300 serta piala pusingan.

Kejohanan anjuran JKKK Changkat dengan kerjasama Pejabat ADUN Jawi tersebut turut mendapat sambutan di luar jangkaan.

Lip Chee yang turut hadir menyaksikan perlawanan akhir antara Pasukan JKKK Sungai Jawi dan Pasukan Batu 10 berasa teruja dengan penganjuran yang julung kali diadakan di sini.

“Ternyata kejohanan sebegini dapat membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat dengan sambutan yang tidak dijangkakan.

“Saya harap supaya aktiviti kesukanan sebegini terus mendapat sambutan terutamanya dalam kalangan muda sebagai usaha mengekang kegiatan yang membuang masa dan tidak bermoral,” katanya sejurus selepas menyampaikan hadiah kepada para pemenang Kejohanan Sepak Takraw Piala Pusingan ADUN Jawi di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Pengerusi JKKK Changkat, Abdul Rahman Ramjan berharap agar kejohanan berkenaan mendapat sambutan lebih meriah tahun hadapan.